REBAT 50 PERATUS PREMIS NIAGA PBT, PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI RM10 JUTA BANTU RAKYAT TERJEJAS DI KEDAH
REBAT 50 PERATUS PREMIS NIAGA PBT, PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI RM10 JUTA BANTU RAKYAT TERJEJAS DI KEDAH

REBAT 50 PERATUS PREMIS NIAGA PBT, PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI RM10 JUTA BANTU RAKYAT TERJEJAS DI KEDAH

ALOR SETAR – Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Kedah bersetuju untuk memberi rebat sebanyak 50 peratus bagi premis niaga pihak berkuasa tempatan (PBT) selama tiga bulan bermula Mac hingga Mei 2020.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir berkata, pemberian rebat itu merangkumi lot niaga, gerai, medan selera dan lain-lain bagi membantu golongan terlibat, yang pendapatan mereka terjejas akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) ekoran penularan pandemik COVID-19.

Selain itu katanya, kerajaan negeri akan memutuskan kaedah penyampaian terbaik pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM10 juta dalam masa terdekat, agar manfaatnya dapat benar-benar dirasai rakyat dalam keadaan memerlukan sebegini.

“Antara lainnya adalah melalui Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang sememangnya memiliki senarai golongan layak menerima bantuan. Dalam keadaan sekarang ini juga, terdapat golongan yang sebelumnya tidak layak menerima zakat, tetapi kini layak kerana tidak dapat menjelaskan hutang dan sebagainya.

“Mereka ini dikenali sebagai ‘Asnaf Al-Gharimin’. Dalam keadaan mereka tidak cukup untuk berbelanja bulanan, golongan ini boleh memohon dari LZNK,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat mingguan MMK di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, golongan yang terjejas turut berpeluang memohon bantuan di bawah pakej rangsangan tersebut dengan cara mengisi borang secara atas talian yang akan disediakan menerusi ‘Kedah Apps’ dalam masa terdekat.

“Selain itu maklumat juga boleh dihantar secara mesej teks. Caranya akan dimaklumkan kepada semua selepas ini,” ujarnya.

Menurutnya, maklumat diberikan pemohon akan dikumpul, diagih mengikut daerah dan diselaraskan bersama LZNK, Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya tidak berlaku pertindihan.

“Berapa jumlah kita akan salurkan untuk setiap penerima, belum diputuskan lagi tetapi jumlah keseluruhan pakej rangsangan yang disediakan adalah sebanyak RM10 juta,” ujarnya.

Tambahnya sehingga ke hari ini, kerajaan negeri telah meluluskan perbelanjaan lebih RM13.4 juta di bawah inisiatif menangani COVID-19.

“Perbelanjaan itu antaranya digunakan untuk bantuan keperluan asas di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Kedah menerusi Pusat Khidmat DUN dan Dun exco angkat, bantuan food bank mahasiswa terkandas di institusi pengajian tinggi (IPT) dan bantuan sokongan petugas barisan depan seperti doktor, jururawat, polis dan tentera melibatkan ‘face mask’ dan ‘hand sanitizer,” katanya.

#WartaKedah #UnitMediaKedah #SidangMedia
#MesyuaratMingguanEXCO
#WabakCovid19
#PerintahKawalanPergerakan
#StayAtHome
#KedahAmanMakmur
#KerajaanNegeriKedah
#KedahDarulAman

(Visited 3 times, 1 visits today)

COMMENTS