Respon Pengarah Urusan Mydin Berkenaan Isu Minyak Masak.
Respon Pengarah Urusan Mydin Berkenaan Isu Minyak Masak.

Respon Pengarah Urusan Mydin Berkenaan Isu Minyak Masak.

SHAH ALAM: Kerajaan seharusnya memberikan tempoh masa sekurang-kurangnya sebulan sebelum menurunkan harga minyak masak sawit dalam botol lima kilogram (5kg) kepada RM34.70, kata Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin.

Menurut Ameer, penetapan harga baharu itu akan menyebabkan peniaga berdepan dengan kerugian.

“Untuk minyak masak, Mydin sahaja memegang stok sebanyak RM3 juta. Kalau (minyak) 5kg yang kini dijual RM38, terpaksa jual pada harga RM34.70, kita akan rugi RM300,000.

“Menteri seharusnya maklumkan penurunan harga bermula dalam tempoh masa sebulan selepas pengumuman iaitu pada September supaya peniaga boleh buat perancangan terlebih dahulu.

“Peruncit misalnya Mydin akan berdepan masalah, apa kita nak buat apabila mereka (kerajaan) beri satu minggu sahaja sehingga 8 Ogos sebelum harga diturunkan, sedangkan stok yang kita ada sekarang semuanya dijual dengan harga RM38,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pengumuman Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkenaan minyak masak sawit dalam botol 5kg yang akan dijual pada harga RM34.70 bermula 8 Ogos.

Menurutnya, sudah pasti pembeli akan menunggu sehingga 8 Ogos nanti untuk membeli minyak masak pada harga yang lebih murah.

Dalam pada itu, Ameer berkata, mekanisme untuk mengawal harga minyak masak tidak boleh menggunakan kaedah yang sama seperti kawalan harga ayam.

“Kalau naik turun (harga) sewenang-wenangnya, nanti akan ada masalah kekurangan (stok) dalam pasaran dan akan menjadi lagi satu masalah seperti isu ayam.

“Perlu ada mekanisme yang lebih baik bagaimana untuk atasi masalah harga minyak masak ini,” ujarnya.

(Visited 46 times, 1 visits today)

COMMENTS