Restoran tak laku, pelanggan takut 'dine in' sebab SOP longgar
Restoran tak laku, pelanggan takut ‘dine in’ sebab SOP longgar

Restoran tak laku, pelanggan takut ‘dine in’ sebab SOP longgar

PETALING JAYA: Pemilik restoran menggesa penguatkuasaan peraturan Covid-19 lebih ketat, dengan mengatakan ramai pelanggan mereka tidak lagi berasa yakin untuk keluar makan susulan gelombang Omicron.

Ivan Chong, pengasas Cotta KL di Damansara Heights berkata pelanggannya telah memberitahunya bahawa mereka tidak berasa selamat kerana penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang longgar secara umum.

“Walaupun sekatan penutupan menjejaskan perniagaan, kini pihak berkuasa dilihat memberi kebebasan orang ramai sepenuhnya tanpa penguatkuasaan peraturan yang sewajarnya.

“Ditambah dengan kebolehjangkitan varian Omicron, ini membuatkan pelanggan saya takut untuk makan di kedai,” katanya kepada FMT.

Chong berkata sejak gelombang Omicron bermula pada hujung Januari, perniagaan merosot sehingga 70% kerana pelanggan tetap hari minggunya, yang rata-ratanya pesara, suri rumah dan pekerja pejabat tidak lagi berasa selamat untuk meninggalkan rumah mereka.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Jawahar Ali Taib Khan berkongsi pemerhatian sama.

“Kami melihat jumlah pelanggan makan di kedai sedikit menurun, terutamanya dalam kalangan keluarga yang tidak mahu mengambil risiko ahli keluarga mereka dijangkiti virus ketika menjamu selera,” kata Jawahar kepada FMT.

Sama seperti Chong, beliau menyifatkan ketakutan itu berpunca daripada kurangnya penguatkuasaan SOP oleh kerajaan.

“Pihak berkuasa perlu menguatkuasakan SOP seperti sebelum ini dan mengingatkan orang ramai supaya tidak leka. Sebagai contoh, pihak berkuasa mesti kerap melakukan pemeriksaan di mana-mana tempat orang ramai berkumpul, seperti pusat beli-belah,” katanya.

Renyi Chin, pengasas bersama myBurgerLab, memberitahu FMT jualan tidak menurun susulan terdapat lebih banyak pesanan melalui penghantaran berbanding makan di kedai di sembilan cawangan jenama itu.

“Kira-kira 70 hingga 80% daripada jualan kami kini hasil daripada penghantaran, dan ini menjejaskan keuntungan kami kerana rakan kongsi penghantaran mengambil komisen sehingga 30%,” kata Chin.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengekang maklumat salah mengenai vaksin dan suntikan dos penggalak supaya lebih ramai orang yakin untuk mengambil dos ketiga mereka dan diharapkan mendapat keyakinan untuk menjamu selera di restoran.–FMT

(Visited 46 times, 1 visits today)

COMMENTS