RM10,000 pun sanggup
RM10,000 pun sanggup

RM10,000 pun sanggup

Kuala Lumpur: Tempah kucing batu (Prionailurus bengalensis ) melalui pasar online sebelum haiwan dilindungi itu dihantar kepada pelanggan dalam tempoh kurang sebulan.

Walaupun dijual pada harga tinggi mencecah RM10,000 seekor namun sambutan terhadap haiwan hampir pupus ini begitu menggalakkan di pasaran gelap.

Ternyata kegiatan haram itu terus berleluasa walaupun individu yang membeli atau menjualnya menyedari pemilikan hidupan liar tanpa lesen dan permit khas adalah jenayah berat.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan jual beli dalam talian ini dibuktikan apabila pihak Perhilitan berjaya menyelamatkan dua ekor kucing batu susulan serbuan di sebuah kediaman di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menurutnya, dalam serbuan jam 1.30 tengah hari itu, sepasukan anggotanya melakukan pemeriksaan terhadap kediaman seorang lelaki tempatan berusia 40-an.

“Hasilnya mereka menemui dua ekor kucing batu, seekor kura-kura Sulcata Tortoise, tiga ekor Sulcata Tortoise juvenile dan empat unit tanduk Rusa.

“Pemilik hidupan liar dilindungi itu didapati gagal mengemukakan permit dan lesen memiliki hidupan liar berkenaan. Dia dipercayai membeli hidupan liar itu melalui tempahan dalam laman sosial.

“Susulan itu, semua hidupan liar itu dirampas dan siasatan dilakukan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya.

Sebelum ini, dua lelaki turut diberkas di ibu negara selepas menggunakan medium media sosial untuk menjual sembilan kilogram (kg) bahagian hidupan liar disyaki daging dan tulang rusa sambar, empat ekor burung murai batu, seekor burung merbah luris leher dan seekor burung daun.

Kadir berkata, pasar online yang menjual haiwan liar dilindungi semakin popular kini bagi golongan yang meminati spesies haiwan sukar diperoleh.

“Biasanya aktiviti pemerdagangan ini membabitkan kerjasama antara pemburu haram, peniaga dan pembiak baka binatang”.

 

LAPORAN Harian Metro, 9 Oktober 2021. FOTO Arkib NSTP
                                                                                                            LAPORAN Harian Metro, 9 Oktober 2021. FOTO Arkib NSTP

 

Beliau berkata, platform media sosial turut digunakan secara aktif untuk menjual daging haiwan, pelbagai organ haiwan eksotik liar dan jerat.

“Ini antara penyebab kepupusan pelbagai spesies hutan. Malah, sebelum ini kami mengesan kegiatan pemburu haram yang mampu mengaut untung besar sehingga RM200,000 dengan menjual seekor harimau hidup kepada mana-mana restoran eksotik di negeri ini.

“Malah, sebelum ini pihak Perhilitan turut menahan empat lelaki dan menyelamatkan dua ekor orang utan selepas menerima maklumat haiwan berkenaan dijual melalui laman media sosial.

“Difahamkan orang utan itu diseludup dari Sumatera, Indonesia sebelum diiklan untuk dijual di negara ini melalui media sosial,” katanya.

Sebelum ini, Jaringan Pemantau Perdagangan Hidupan Liar (Traffic) Asia Tenggara mengesan kewujudan akaun sesawang sosial khususnya Facebook yang mendalangi penjualan hidupan liar secara haram di negara ini.

Kegiatan itu dikesan membabitkan hampir 70,000 ahli aktif yang secara konsisten memberi maklum balas menyokong kegiatan itu. —HM

(Visited 6 times, 1 visits today)

COMMENTS