RM28 juta peruntukan bakal turun di Sik, Sungai Petani dan Pendang
RM28 juta peruntukan bakal turun di Sik, Sungai Petani dan Pendang

RM28 juta peruntukan bakal turun di Sik, Sungai Petani dan Pendang

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti beberapa buah projek untuk dibangunkan di tiga daerah di negeri ini membabitkan anggaran kos keseluruhan RM28 juta.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata projek yang bertujuan memberi kemudahan kepada penduduk setempat itu dicadangkan kepada kementerianya oleh tiga pihak berkuasa tempatan iaitu Sik, Sungai Petani dan Pendang.

“Antara projek itu adalah cadangan pembinaan pasar di Taman Bersatu, Sungai Petani bagi menyediakan satu ruang niaga kepada peniaga yang sejak 30 tahun lalu menjalankan perniagaan di tapak yang tiada kelulusan.

“Kita juga menerima cadangan bagi pembinaan Kompleks Sukan Bela Diri di Sik, yang bertujuan menyediakan kemudahan untuk sukan seni bela diri termasuk mengadakan pertandingan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pendang di sini, hari ini.

Katanya, turut diteliti adalah projek pembinaan Dataran Pendang dan menaik taraf Pendang Waterfront sebagai sebuah pusat rekreasi bersepadu yang bukan sahaja sebagai tempat beriadah tetapi juga menjadi pusat ekonomi dan pelancongan.

Selain itu, Zuraida berkata satu projek perumahan rakyat (PPR) atau rumah mampu milik yang belum ditentukan kosnya turut dicadang dibina di sebuah kawasan ladang di Sik.

Katanya, semua projek tersebut akan dibincangkan secara terperinci dengan kerajaan negeri sebelum dilaksanakan bagi memastikan dapat mencapai objektif yang diharapkan.

“Kita perlu pastikan projek-projek yang hendak dibina mesti selaras dengan objektif kerajaan negeri, dapat meningkatkan ekonomi setempat dan menggalakkan aktiviti pelancongan,” katanya.

— BERNAMA

(Visited 2 times, 1 visits today)

COMMENTS