Rumah dibina arwah suami musnah
Rumah dibina arwah suami musnah

Rumah dibina arwah suami musnah

Alor Setar: “Selepas selesai solat Asar, saya dengar orang menjerit meminta tolong, sebaik keluar saya lihat api di rumah jiran sudah marak sebelum merebak ke rumah saya,” kata warga emas, Syarifah Bahariah Syed Noh, 73.

Nenek kepada 14 cucu ini berkata, dalam kejadian pada 5 petang semalam, dia tinggal seorang diri di rumah manakala dua cucunya keluar membeli barang di kedai runcit berdekatan, manakala anaknya menjemput isteri di tempat kerja.

Katanya, kejadian berlaku terlalu pantas berikutan keadaan angin yang agak kencang sehingga menyebabkan dia tidak berani masuk ke rumah untuk menyelamatkan barang berharga.

“Saya hanya mampu melihat rumah yang dibina oleh arwah suami lebih 50 tahun lalu musnah sama sekali menyebabkan kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan daripada Pejabat Menteri Besar yang diserahkan sendiri oleh Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor di perkarangan rumahnya di Kampung Alor Madi, Anak Bukit, di sini, hari ini.

Turut menerima sumbangan seorang lagi mangsa, Radzian Arshad, 51.

Sementara Radzian berkata, dia bergegas pulang ke selepas menerima panggilan daripada isterinya, Rosliza Yusuf, 48, yang memaklumkan rumah mereka terbakar.

“Semasa kejadian, isteri berada di bahagian bawah rumah dua tingkat bersama tiga anak, seorang cucu dan seorang anak asuh sebelum terdengar bunyi meletup di tingkat atas.

“Mereka terus keluar dan mendapati api sudah marak dan tidak dapat menyelamatkan barangan di dalam rumah.

“Angin yang kuat menyebabkan api merebak ke rumah jiran tetapi saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa yang berlaku. Terima kasih kepada Menteri Besar yang memberikan sumbangan,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri akan mengambil tindakan yang sesuai mengikut prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk memulihkan semula kehidupan dua keluarga terbabit.

— HMetro

(Visited 2 times, 1 visits today)

COMMENTS