Saifuddin kali ke 3 U Turn, benarkan video di media sosial tanpa lesen Finas.

Saifuddin kali ke 3 U Turn, benarkan video di media sosial tanpa lesen Finas.

Selepas diasak sehingga dilabel sengaja mahu menyekat kebebasan individu dalam berkarya, kerajaan sekali lagi membuat pusingan U apabila akhirnya membenarkan orang ramai memuatnaik video di laman sosial tanpa dikenakan sebarang tindakan.

Ini bukan kali pertama dibuat oleh Saifuddin apabila sebelum ini membatalkan perlantikan seorang peguam, Eric Pulsen sebagai ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM) dan membatalkan pemberian kontrak 5g-spectrum tanpa tender selepas dikritik.

Menerusi kenyataan terbaharu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pengguna media sosial bebas menggunakan segala platform media yang ada tanpa perlu memohon lesen.

Katanya, kerajaan Malaysia menegaskan pendirian untuk mendokong prinsip kebebasan media dan hak kebebasan individu di laman media sosial.

“Pengguna media sosial bebas menggunakan platform yang sedia ada seperti TikTok, YouTube dan sebagainya, termasuk menghasilkan dan memuatnaik video seperti biasa tanpa perlu memohon lesen atau bimbang didakwa oleh FINAS.

“Kerajaan akan meminda Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 [Akta 244] dengan mengambil kira situasi semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada semalam, ramai pihak yang mempertikaikan keputusan kerajaan yang menetapkan bahawa agensi media arus perdana atau media individu yang menerbitkan filem di media sosial atau saluran tradisi, perlu memohon Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP).

Namun, dalam kenyataan media yang menjelaskan isu tersebut pada semalam, Saifuddin berkata, Perikatan Nasional (PN) sama sekali tidak berniat menggunakan akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial.

Jelasnya beliau hanya menerangkan mengenai undang-undang sedia ada, iaitu Akta 244 ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi.

Malah katanya, akta terbabit sudah digunakan selama ini, oleh kerajaan terdahulu, termasuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Sebahagian daripada laporan terbabit juga dakwanya, memberi gambaran yang tidak tepat sehingga membawa kepada makna berbeza daripada maksud jawapan beliau.

Justeru katanya hari ini, KKMM telah memulakan usaha untuk meminda akta-akta di bawah pengawasan Kementerian agar bersesuaian dengan situasi semasa.

“Kerajaan akan memulakan proses meminda akta-akta tersebut dalam masa terdekat,” ujarnya.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )