‘Sampai bila perlu bersabar, masalah air di Kuala Kedah tiada kesudahan’

‘Sampai bila perlu bersabar, masalah air di Kuala Kedah tiada kesudahan’

Masalah gangguan bekalan air di Kuala Kedah masih berlarutan apabila beberapa kawasan perumahan kekal menerima bekalan air berbau busuk, hanyir dan berasa masin.

Terdapat juga beberapa taman hanya menerima bekalan air dalam tempoh singkat menyebabkan aktiviti seharian penduduk terus terganggu terutama ketika musim kemarau ketika ini.

Penduduk Taman Sri Kota Luar, Wan Nazmi Wan Mahmood, 59, berkata dia sudah dua hari menerima bekalan air masin dipercayai akibat paip bocor yang berlaku.

Katanya, lebih teruk daripada itu bekalan air yang diterima baru-baru ini juga seperti air longkang yang berbau busuk dan berwarna coklat.

“Masalah air di kawasan perumahan saya berlaku sejak dua tahun lalu, kadang-kadang air busuk dan berwarna coklat, ada juga masa bekalan air jernih tetapi masin.

“Saya tinggal di sini sejak 1969, sejak kebelakangan ini masalah air semakin menjadi-jadi, mungkin paip yang ada sudah terlalu lama sehingga berlaku banyak kebocoran,” katanya.

Isnin lalu, media melaporkan lebih 20,000 penduduk sekitar Kuala Kedah mengalami masalah bekalan air sehingga menyukarkan kehidupan harian mereka sejak lebih lima tahun lalu.

Keadaan itu menyebabkan ramai penduduk tidak lagi sanggup tinggal di kawasan berkenaan sehingga ada yang merancang menjual kediaman mereka walaupun pada harga yang rendah.

Antara kawasan yang kerap terjejas bekalan adalah Taman Sri Putra, Taman Desarina Indah, Taman Armada, Taman Nautika, Taman Desa Wawasan, Taman Nusantara, Kampung Tepi Laut, Kampung Madrasah, Kampung Tengah dan Kampung Ulu.

Bagi Penduduk Taman Sri Putra, Rohaizah Bahari, 49, pula berkata bekalan air yang diterima di rumahnya berbau hanyir sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa membeli air untuk mengambil wuduk sementara menunggu bekalan air kembali normal pada jam 3 petang.

“Kami terpaksa bersarapan dan makan tengah hari di luar, malah sekarang kami terpaksa keluarkan belanja yang banyak untuk makan dan minum serta mencuci pakaian.

“Tambahan pula sekarang musim kemarau, lagi banyak air yang diperlukan, kami tak tahu sampai bila perlu lalui semua ini. Harap kerajaan dapat membantu menyelesaikan masalah kami di sini, sampai bila kami harus bersabar,” katanya. -BH

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )