Sanusi dakwa dokumen 'Pasleak' dibuat oleh 'Cybertroopers'
Sanusi dakwa dokumen ‘Pasleak’ dibuat oleh ‘Cybertroopers’

Sanusi dakwa dokumen ‘Pasleak’ dibuat oleh ‘Cybertroopers’

Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor percaya dokumen ‘PASLeak’ dihasilkan pasukan laskar siber pihak tertentu yang akan mendapat kepentingan apabila maklumat berkaitan dakwaan perancangan menjatuhkan kepemimpinan UMNO disebarkan secara terbuka.

Menteri Besar Kedah itu menegaskan, kandungan dokumen yang dikatakan minit mesyuarat kepemimpinan PAS sangat diragui kerana dibuat tanpa mengikut ejaan dan urutan kebiasaaan format parti berkenaan.

“Saya kalau nak rancang perkara sebegitu (menjatuhkan kepemimpinan UMNO), saya tidak tulis. Orang bodoh sahaja tulis, selepas itu sebar bagi orang baca. Saya beranggapan dokumen itu dibuat laskar siber pihak yang dapat kepentingan daripada dokumen itu,” katanya pada Berita Harian.

Ditanya pihak mana dipercayainya mampu menghasilkan dokumen sedemikian, Muhammad Sanusi tidak menolak kemungkinan ia dilakukan pihak dalam Barisan Nasional (BN) sendiri.

Baca Juga : Dilantik Ketua Cawangan Bersatu, pengarah filem umum bertanding PRU-15?

Katanya, ada pegawai dalam BN yang kuat mendesak Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS untuk bersumpah laknat susulan penularan dokumen ‘PASLeak’.

“Dia mungkin ada kepentingan pada dokumen itu dan sedang guna dokumen itu. Orang macam ini ada potensi untuk buat dokumen,” katanya menegaskan pendedahan dokumen berkenaan yang mendakwa wujud perancangan sulit bagi menjatuhkan pimpinan UMNO sebagai perkara tidak benar.

“Saya berada lama dalam hierarki kepimpinan PAS Pusat, bagi kita kalau ada (perancangan sulit) kita akan cakap ada, jika tidak ada, kita akan cakap tidak ada. Minit mesyuarat PAS bukan begitu, kita ada format mint yang perlu diikuti, ada ejaan dan urutan tertentu.

“Saya tak tahu siapa tulis minit itu, mungkin ‘jebon’ yang tulis minit mesyuarat itu,” katanya merujuk haiwan jenis musang dipanggil cerpelai atau ‘mongoose’ yang digambarkan sangat lincah dan licik.

Sebelum ini, tular di media sosial isu minit mesyuarat PAS yang didakwa merancang menjatuhkan UMNO dan BN, termasuk menyegerakan usaha memasukkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke penjara.

(Visited 220 times, 1 visits today)

COMMENTS