Sanusi dakwa nampak ahli parlimen pembangkang pasang bendera putih untuk burukkan kerajaan

Sanusi dakwa nampak ahli parlimen pembangkang pasang bendera putih untuk burukkan kerajaan

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa kempen bendera putih adalah satu usaha pihak pembangkang untuk memburukkan kerajaan. Sambil menyifatkan perkara itu sebagai propaganda politik, ianya juga adalah satu usaha untuk membina persepsi bahawa kerajaan telah gagal dalam menghadapi pandemik Covid-19 ini.

“Saya nampak ada ahli-ahli parlimen pembangkang pi tolong penaik bendera putih di rumah orang, saya kata itu bukan kerja wakil rakyat, itu kerja orang gila!” ujar beliau dalam satu sidang media selepas melawat Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) di Kulim semalam.

Terdahulu, kempen menaikkan bendera putih dilancarkan di media sosial baru-baru ini menyeru orang ramai supaya menghantar isyarat secara terbuka dengan menaikkan bendera putih jika memerlukan sebarang bantuan, terutamanya dari segi barang keperluan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP 3.0.

Kempen ini mendapat sambutan meluas daripada warganet yang rata-rata menawarkan sokongan dari segi moral dan bantuan barang keperluan kepada golongan yang terjejas pendapatan akibat wabak Covid-19. Ia juga dapat memudahkan banyak pihak terutama aktivis masyarakat, NGO atau wakil rakyat untuk mengenalpasti pihak yang betul-betul memerlukan bantuan.

Idea murni ini mendapat sokongan daripada netizen, aktivis masyarakat, artis serta kebanyakan ahli politik sama ada daripada pembangkang mahupun kerajaan termasuk dari Umno dan Bersatu. Namun, hanya pemimpin Pas yang dilihat mencemuh dan memperlekehkan usaha ini.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )