Sanusi diibaratkan seperti 'masuk bakul angkat sendiri'- UMNO Merbok
Sanusi diibaratkan seperti ‘masuk bakul angkat sendiri’- UMNO Merbok

Sanusi diibaratkan seperti ‘masuk bakul angkat sendiri’- UMNO Merbok

PETALING JAYA: UMNO Bahagian Merbok mengibaratkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor cuma ‘masuk bakul angkat sendiri’ berhubung rizab simpanan negeri itu yang kini dilaporkan berjumlah RM600 juta.

Timbalan Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, lonjakan besar yang disifatkan Muhammad Sanusi itu berbanding hanya RM40 juta semasa pentadbiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir jelas mengelirukan.

“Melalui Laporan Ketua Audit Negara (Negeri Kedah) berhubung Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri dari tahun 2016 hingga 2020, angka RM40 juta yang dirujuk oleh Menteri Besar Kedah itu sebenarnya adalah rizab pada tahun 2015 (jumlah tepat RM43.41 juta). Manakala, rizab pada tahun-tahun seterusnya adalah RM70.69 juta (2016), RM153.92 juta (2017), RM74.57 (2018) dan RM320.48 (2019).

“Saya bukanlah peminat Mukhriz, tetapi saya percaya rujukan yang lebih sesuai dan adil adalah pada tahun 2019 iaitu sebelum Pas mengambil alih. Saya tidak pasti apakah tujuan dan niat Menteri Besar merujuk kepada kutipan 2015 yang merekodkan kutipan hampir 10 kali ganda lebih kecil berbanding kutipan terakhir pada tahun 2019,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Shaiful Hazizy berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan Menteri Besar itu sekadar mahu memburuk-burukkan pencapaian kerajaan negeri sebelumnya dengan memetik kutipan terendah sebagai titik rujukan.

“Kedua, beliau mahu menunjukkan bahawa beliaulah yang lebih baik. Apa yang peribahasa kita sebut sebagai masuk bakul angkat sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shaiful Hazizy berkata, Muhammad Sanusi perlu menjelaskan bentuk-bentuk pendapatan yang dikira sebagai rizab negeri Kedah.

Katanya, ini kerana wujud kekhuatiran sekiranya kerajaan negeri sebenarnya mengambil pendekatan pukul rata dan memasukkan segala bentuk pelaburan dan aktiviti ekonomi di Kedah sebagai rizab simpanan negeri, maka tidak pelik jika berlaku lonjakan tersebut.

Selain itu katanya, Muhammad Sanusi juga perlu berkongsikan sektor dan faktor yang menyumbang lonjakan besar kutipan itu kepada masyarakat.

“Perkara ini penting kerana, sekiranya lonjakan besar itu adalah disebabkan oleh pembalakan besar-besaran, penjualan tanah negeri atau aktiviti ekonomi yang tidak mesra alam, ia bukanlah jalan sesuatu yang elok untuk diteruskan oleh Kerajaan Negeri Kedah.

“Masyarakat berhak untuk mengetahuinya. Apatah lagi dalam keadaan yang menyaksikan banyak aktiviti ekonomi yang telah memusnahkan alam sekitar berlaku di Kedah,” ujarnya.

Jelas beliau, Menteri Besar Kedah itu juga perlu membentangkan dengan terperinci agenda kebajikan dan pembangunan yang jauh lebih baik tatkala negeri itu merekodkan kutipan rizab simpanan tertinggi.

“Adalah tidak membawa apa-apa makna untuk Kerajaan Negeri Kedah merekodkan rizab yang tinggi sekiranya semua itu tidak disalurkan untuk manfaat dan kebaikan rakyat.

“Jadi, adalah molek sekiranya Kerajaan Negeri Kedah membentangkan dengan terperinci, bukan sekadar dengan idea mahu menjadikan Kedah pengeksport ketum.

“Apa-apa pun, jika benar seperti yang diumumkan oleh Menteri Besar, saya merakamkan tahniah atas kejayaan yang dicanangkan tersebut,” katanya. – UTUSAN

(Visited 53 times, 1 visits today)

COMMENTS