Sanusi mahu PKP di Kedah diberikan kelonggaran

Sanusi mahu PKP di Kedah diberikan kelonggaran

Kedah berharap bazar Ramadan dan Aidilfitri di daerah yang dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) diberi kelonggaran untuk beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata beliau akan membangkitkan perkara itu dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 2.30 petang, hari ini.

“Saya akan hadir ke mesyuarat tersebut secara dalam talian. Saya akan membangkitkan situasi peniaga-peniaga yang tidak dapat menanggung beban yang terlalu besar akibat penutupan perniagaan di bazar Aidilfitri dan bazar Ramadan.

“Saya juga berharap agar bazar dalam kawasan PKP diberi kelonggaran untuk beroperasi dengan SOP yang diperketat. Semoga ada khabar melegakan esok bagi lima daerah yang dikenakan PKP,” menurutnya dalam kenyataan di Facebook, semalam.

Pada Jumaat lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKP di lima daerah di Kedah iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim bermula Ahad hingga 14 Mei depan.

Terdahulu, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) cawangan Kedah Sarjakhan Abu Bakar turut menyuarakan pandangan agar bazar di lima daerah terbabit dibenarkan beroperasi bagi mengelakkan peniaga mengalami kerugian besar.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )