Sanusi merayu rakyat Kedah jangan ‘ketegaq’ hadir suntikan vaksin

Sanusi merayu rakyat Kedah jangan ‘ketegaq’ hadir suntikan vaksin

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor merayu penduduk negeri ini supaya tidak ‘ketegaq’ atau degil untuk hadir menerima suntikan vaksin Covid-19 selepas diberi janji temu menerusi aplikasi MySejahtera di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berdekatan tempat tinggal mereka.

Muhammad Sanusi membuat rayuan tersebut selepas 10,827 penduduk di Kedah sebelum ini dilaporkan menolak suntikan tersebut dengan alasan remeh.

Kerjasama mereka terutama warga emas untuk hadir janji temu itu sangat penting dalam usaha mengekang penularan Covid-19 dan mencapai sasaran seramai 80 peratus rakyat negeri ini menerima vaksin menjelang akhir tahun ini.

“Saya harap tidak berlaku lagi orang tidak hadir menerima suntikan kerana mereka yang tidak hadir itu tidak bertanggungjawab kepada diri sendiri, bukan untuk orang lain,” katanya.

Berdasarkan rekod sehingga 24 Mei lalu, seramai 579,526 orang daripada 1.54 juta yang layak disuntik telah mendaftar sebagai penerima suntikan vaksin di Kedah.

Sementara itu, bilangan yang telah menerima suntikan dos pertama sehingga tempoh sama ialah seramai 91,349 atau 15.76 peratus daripada jumlah mereka yang berdaftar.

Penduduk negeri ini juga diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan maklumat palsu berkaitan vaksin Covid-19 yang disebarkan menerusi media sosial.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan seluruh umat Islam disaran menerima vaksin Covid-19 yang diperakui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berikutan ia kaedah lebih berkesan untuk menyelamatkan nyawa dan disahkan halal.

Malah, Islam sangat menitikberatkan penjagaan diri dan nyawa dan penggunaan vaksin lebih berkesan untuk menjauhi Covid-19.

Selain itu, semua pihak diharapkan tidak lagi menyebar maklumat palsu mengenai vaksin Covid-19 sehingga menimbul keraguan kepada orang ramai untuk menerima suntikan tersebut. – UTUSAN ONLINE

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )