Satu Pekan Relau positif Covid-19 gara-gara seorang wanita hadir tadarus al-Quran

Satu Pekan Relau positif Covid-19 gara-gara seorang wanita hadir tadarus al-Quran

Lebih 100 penduduk di pekan kecil Relau di Bandar Baharu disahkan positif Covid-19 dan dimasukkan ke Hospital Kulim manakala bakinya diarah kuarantin di rumah.

Wabak berbahaya itu tercetus selepas seorang penduduk wanita yang positif Covid-19 menghadiri majlis tadarus al-Quran sebelum ia merebak kepada jemaah masjid dan ahli keluarga.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah ketika ini masih meneruskan ujian saringan kontak rapat yang hadir pada majlis yang dihadiri wanita berkenaan baru-baru ini.

“Ada antara mereka dibawa ke hospital menggunakan bas dan van Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi menjalani ujian saringan dan kebanyakan mereka adalah warga emas,” lapor BH semalam.

Bersalaman dan berpelukan

Menurut Dr Mohd Hayati lagi, pihak JKN turut membawa penduduk yang mengalami gejala ke hospital bagi mengelak mereka berhubung bersama ahli keluarga yang sihat di rumah.

“Saya tidak pasti berapa jumlah mereka yang dibawa untuk lakukan saringan, tetapi memang ramai kerana yang bergejala turut dibawa kerana bimbang mereka akan positif dalam tempoh dua minggu.

“Cuma sekarang kita bimbang sudah ramai yang dijangkiti namun tidak mempunyai gejala dan setakat ini hospital masih lagi mampu tampung jumlah mereka,” katanya.

Berikutan itu, Dr Mohd Hayati meminta individu yang mempunyai kontak rapat atau mempunyai gejala agar tampil melakukan saringan selain bersikap jujur mengenai keadaan kesihatan mereka.

“Mungkin ramai penduduk tidak perasan sudah dijangkiti kerana tidak mempunyai gejala, tetapi apabila ada majlis agama dan sebagainya, mereka bersembang rapat dan tidak pakai pelitup muka termasuk bersalaman dan berpelukan.

“Kita bimbang kerana banyak kes sekarang tidak bergejala, jadi sila ambil perhatian dan kita tidak mahu wabak ini terus berjangkit kepada golongan yang berisiko,” ujarnya lagi.

Masalah air

Sementara itu, wakil penduduk kampung mukim Relau, Helmi dan Sufian memohon sumbangan orang ramai untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk terjejas.

“Setakat sekarang ini jumlah yang positif hampir 200 orang. Rata-rata yang positif adalah warga emas. Kami terima saja apa apa jenis bantuan yang sudi dihulurkan.

“Terutamanya air mineral kerana di kampung kami ini masalah air adalah masalah utama. Jadi keperluan utama adalah air mineral dan di samping lain-lain keperluan juga.

“Kem PLKN Sri Impian Relau dijadikan pusat utk mengumpul barang-barang keperluan,” kata mereka yang boleh dihubungi menerusi talian 013-6300787 (Helmi) atau 012-4272301 (Sufian). – MD

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )