"Saya Mohon Maaf Isu Pegang Anjing" - To'ki
“Saya Mohon Maaf Isu Pegang Anjing” – To’ki

“Saya Mohon Maaf Isu Pegang Anjing” – To’ki

Penyanyi popular era 1990-an, To’ki memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan tindakannya memegang anjing seperti yang tersiar di Facebook miliknya, semalam.

To’ki, 53, atau nama sebenarnya Mohd Zaki Mansur berkata, dia berterima kasih atas teguran yang diberikan terhadapnya.

“Saya mohon maaf dan menyusun 10 jari kepada semua. Isu sentuh anjing ini usahlah dipanjangkan sehingga kita seolah-olah duduk dalam tempurung sebagai Islam yang hak, Islam yang batil dan Islam keturunan.

“Ya memang boleh menjatuhkan apa-apa dosa, pahala dan sebagainya. Tapi kita yang memegang al-Quran secara hakikat, memegang al-Quran dan kita memahami al-Quran, tidak ada pun salah.

“Anjing yang saya pegang beberapa hari lalu adalah anjing untuk memburu. Spesis anjing untuk pergi berperang,” katanya menerusi kiriman video kepada Harian Metro.

Menurut To’ki, ketika membesar di kampung, dia melihat kanak-kanak Melayu sering membaling batu kepada anjing.

“Kasihan pada anjing. Tak boleh buat begitu sebenarnya kerana anjing juga makhluk Allah. Kita kena faham, dari sudut syariat pun tiada masalah untuk saya pegang anjing itu.

“Saya tidak cium sebab masih tahu batas. Tambahan pula saya selalu bercerita perihal Tuhan. Takkan saya tak tahu.

“Mengikut hadis, pahala akan habis begitu saja apabila bela anjing dalam rumah. Masalahnya anjing ini bukan peliharaan saya,” katanya.

To’ki berkata, dia sekali lagi memohon maaf, tetapi meminta mereka yang tidak memahami isu itu supaya memahami Islam secara hak.

“Jangan kita menuduh itu ini. Cuba kaji balik sejarah Islam. Jangan jadi jumud dan fahami Islam secara syumul,” katanya.

Terdahulu menerusi Facebook semalam, To’ki memuat naik 10 keping gambarnya bersama isteri memegang seekor anjing berwarna hitam.

Tindakan itu mendapat kecaman peminat yang menganggapnya tidak sensitif dan bimbang menjadi ikutan ramai serta menimbulkan fitnah dalam masyarakat.

Berita : Harian Metro

(Visited 22 times, 1 visits today)

COMMENTS