"Saya Tidak Sabar Berdepan Leeds United" - Ole
“Saya Tidak Sabar Berdepan Leeds United” – Ole

“Saya Tidak Sabar Berdepan Leeds United” – Ole

Ole Gunnar Solskjaer tidak sabar untuk melihat aksi kompetitif pertama Manchester United menentang Leeds United selepas sembilan tahun, sekali gus mengimbau kembali permusuhan tegang ketika zaman beliau menjadi pemain di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pengendali kelahiran Norway itu masuk sebagai pemain gantian dalam aksi terakhir pertemuan antara dua kelab itu di EPL pada Februari 2004, sebulan sebelum Leeds tersingkir.

Selepas itu kedua-dua pasukan pernah bertemu sebanyak dua kali dalam saingan piala domestik.

Leeds yang pernah beraksi di divisyen tiga memegang status selaku pembunuh gergasi apabila menewaskan seteru mereka itu di pusingan ketiga Piala FA 2010 di Old Trafford 1-0, sebelum United membalas dendam setahun kemudian menang 3-0 di Piala Liga.

Kali ini Leeds yang dibimbing Marcelo Bielsa dilihat mempunyai perwatakan tersendiri dan akan berkunjung ke Manchester dengan penuh keyakinan selepas mengalahkan Newcastle 5-2.

United juga masih berada dalam keadaan bersemangat selepas bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan pasukan tangga terbawah Sheffield United 3-2 sehingga membolehkan mereka melonjak ke tangga keenam.

“Saya tidak sabar. Ia sudah terlalu lama. Saya tahu betapa ia sangat bermakna buat penyokong dan juga kelab.

“Ia adalah Leeds yang berbeza dengan jurulatih yang menjalankan tugas cemerlang dan aka menguji kami sehingga ke peringkat paling sukar,” kata Solskjaer.

Solskjaer berkata, beliau sangat menikmati ketika pertemuan dengan Leeds sebagai pemain dan meledak dua gol apabila pasukan bimbingan Alex Ferguson itu mencatat kemenangan 4-3 pada 2002.

“Ia aksi yang sangat tegang, dengan insiden terjah-menerjah, pemain kedua-dua pasukan masing-masing mahu menang,” katanya.

Artikel : Harian Metro

(Visited 2 times, 1 visits today)

COMMENTS