Sekolah tak perlu tutup walaupun kes Covid-19 meningkat?
Sekolah tak perlu tutup walaupun kes Covid-19 meningkat?

Sekolah tak perlu tutup walaupun kes Covid-19 meningkat?

PETALING JAYA: Dua kumpulan pendidikan menyuarakan bantahan terhadap rancangan penutupan sekolah untuk mengawal penularan wabak Covid-19.

Jurucakap Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (MAGPIE) dan Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) berkata, mereka percaya terdapat cara lain untuk menangani masalah peningkatan kes jangkitan dalam kalangan kanak-kanak.

“Ibu bapa perlu mendengar nasihat pakar kesihatan dan dapatkan suntikan dos penggalak serta memastikan anak-anak juga diberi suntikan secepat mungkin,” kata Pengerusi MAGPIE Mak Chee Kin.

Beliau berkata, semua guru dan kakitangan sekolah yang lain harus menjalani ujian RTK-antigen seminggu sekali untuk mengekang penularan kluster sekolah.

Manakala itu, Pengerusi PAGE Noor Azimah Abdul Rahim berkata, cuti persekolahan akan datang mungkin boleh menghentikan kluster pendidikan.

“Cuti sekolah akan bermula dari 26 Feb hingga 20 Mac sebelum kalendar akademik baharu bermula,” katanya.

“Oleh itu tidak ada keperluan untuk menutup sekolah.”

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata minggu lalu bahawa terdapat peningkatan kes Covid-19 sebanyak 160% membabitkan kanak-kanak sejak awal bulan ini. Beliau mengaitkan peningkatan itu dengan pembukaan semula sekolah selepas cuti baru-baru ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pendidikan naik mendadak apabila sebanyak 92 kluster dilaporkan minggu lalu berbanding 61 kluster seminggu sebelumnya.

Katanya, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) merekodkan sebanyak 367 kluster pendidikan dari 1 Jan hingga 19 Feb dengan 346 daripadanya masih aktif.

Mak berkata, adalah “tidak praktikal” untuk menutup sekolah sekali lagi kerana pelajar telah pun tertinggal pelajaran dan waktu bersosial dengan rakan sebaya selama dua tahun akibat penutupan sebelum ini.

“Biarpun kita bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak sekolah, kita perlu sedar bahawa virus itu akan terus berada dalam masyarakat,” katanya.–FMT

(Visited 12 times, 1 visits today)

COMMENTS