Seorang PGA maut, pemandu lori mengaku tidak bersalah
Seorang PGA maut, pemandu lori mengaku tidak bersalah

Seorang PGA maut, pemandu lori mengaku tidak bersalah

Sungai Petani: Pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian seorang anggota Pasukan Gerakan Awam (PGA) di Kilometer 79.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara, Jumaat lalu.

Tertuduh, Hairul Azman Abdullah, 40, membuat pengakuan itu sejurus kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nadhirah Abdul Rahim.

Mengikut fakta kes, pada 24 Disember lalu, jam 2.09 pagi Hairul Azman yang berasal dari Sungai Besar, Selangor didakwa memandu lori jenis Hino di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine.

Tertuduh didakwa tidak berdaya mengawal kenderaan hingga menyebabkan kematian pemandu Honda City.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jika disabit bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun, denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen bagi tempoh minimum 10 tahun.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Inspektor Syed Ahmad Ridzuan Syed Zainol Abidin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tengku Hezrul Anuar Tengku Abdul Samad.

Terdahulu, Syed Ahmad Ridzuan memohon mahkamah mengenakan jaminan RM50,000 terhadap tertuduh dan juga syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis terdekat di tempat tinggalnya sebulan sekali.

Bagaimanapun, Tengku Hezrul meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan dengan alasan tertuduh perlu menyara isteri yang tidak bekerja serta anak yang masih kecil dan ibu bapa yang sudah uzur.

Nadhirah kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Januari depan sebagai sebutan semula kes.

Dalam kejadian Jumaat lalu itu, seorang anggota PGA, Koperal Muhamad Aziem Azman, 34, meninggal dunia manakala isterinya kini masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar selepas terbabit dalam kemalangan dengan lori dipandu tertuduh.

Ketika kejadian pasangan suami isteri terbabit berada di luar kenderaan mereka yang rosak dan berhenti di lorong kecemasan.

Ketika itu, lori PROPEL dan peronda PLUS turut berhenti memberikan bantuan namun dirempuh lori lori yang dipandu tertuduh. —Metro

(Visited 52 times, 1 visits today)

COMMENTS