SIDANG DUN KEDAH DITANGGUH- MUKHRIZ MAHATHIR.
SIDANG DUN KEDAH DITANGGUH- MUKHRIZ MAHATHIR.

SIDANG DUN KEDAH DITANGGUH- MUKHRIZ MAHATHIR.

ALOR SETAR – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang sebelum ini dijadualkan pada 13 dan 14 April ditangguhkan ke 16 April berikutan penyambungan perintah kawalan pergerakan (PKP) seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir berkata, persidangan itu hanya akan berlangsung selama sehari saja.

“Akan ada perasmian oleh Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

“Tetapi baginda tidak perlu berangkat ke sidang DUN tersebut, sama seperti yang dilakukan di negeri-negeri-lain dalam tempoh ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat mingguan MMK di Wisma Darul Aman di sini, semalam.

Ini merupakan kali kedua penangguhan dibuat dengan sidang DUN pada awalnya dijadualkan berlangsung pada 23 Mac lepas.

Sementara itu Mukhriz berkata, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masih perlu beroperasi seperti biasa biar pun kerajaan negeri ketika ini tidak ‘sealiran’ dengan kerajaan di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, pembayaran elaun kepada MPKK kini diambil alih oleh kerajaan negeri.

“Kerajaan Persekutuan telah membayar elaun hingga bulan Februari yang disempurnakan pada minggu pertama Mac. Maka kerajaan negeri akan mengambil alih bayaran elaun bulan Mac ini yang akan dibuat pada minggu pertama April.

“Pengambil alihan pembayaran elaun ini akan diteruskan hingga Disember 2020,” katanya.

Justeru katanya, kalangan MPKK termasuk pengerusi dan setiausaha perlu menjalankan khidmat kepada rakyat seperti biasa.

“Jangan gusar dan bimbang kononnya bila pertukaran kerajaan peringkat Persekutuan, MPKK dah bubar. Itu tak berlaku di Kedah,” katanya.

(Visited 21 times, 1 visits today)

COMMENTS