Singapura dedah kelemahan Malaysia
Singapura dedah kelemahan Malaysia

Singapura dedah kelemahan Malaysia

Memetik Laporan Utusan

PETALING JAYA: Dua jaringan Ikhsan Fandi memberi kekalahan pertama buat Harimau Malaya di bawah era Kim Pan Gon dan membantu Singapura menang 2-1 dalam aksi persahabatan Siri Tiga Negara di Stadium Nasional, Singapura, sebentar tadi.

Anak kepada legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad itu meledak gol di setiap babak, sekali gus mendedahkan kepada Pan Gon banyak lagi kerja perlu dilakukan menjelang kelayakan Piala Asia 2023, Jun nanti.

Pertemuan ‘derby’ ke-69 antara Singapura dan Malaysia itu berlangsung seimbang di babak pertama, dengan kedua-dua pasukan memiliki peluang untuk menjaringkan gol.

Momentum serangan Harimau Malaya bagaimanapun sedikit terjejas apabila Syafiq Ahmad terpaksa dikeluarkan seawal minit ke 17 akibat kecederaan dan diganti dengan Mohamadou Sumareh.

PENYOKONG setia Harimau Malaya hadir di Stadium Nasional, Singapura.

Biarpun Malaysia lebih banyak mengatur serangan, namun tuan rumah terlebih dulu memanfaatkan peluang apabila Ikhsan membuka jaringan pada minit 30.

Kekebalan benteng Singapura mematahkan usaha Malaysia untuk mencari gol penyamaan pada babak pertama.

Peluang terbaik anak-anak buah Pan Gon menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-48 apabila dihadiahkan sepakan penalti, namung gagal disempurnakan Safawi Rasid.

Begitupun pemain naturalisasi negara yang sering menjadi sasaran kritikan peminat Malaysia, Liridon Kraniqi akhirnya meledak gol pertama bersama Harimau Malaya pada minit ke-57 untuk kedudukan 1-1.

LIRIDON akhirnya membuka akaun jaringan bersama Harimau Malaya.

Pan Gon kemudian melakukan empat pertukaran dengan memasukkan Ariff Aiman Hanapi, Faisal Halim, Dominic Tan dan Luqman Hakim Shamsudin dalam usaha menajamkan serangan.

Strategi itu bukan sahaja tidak menjadi, malah menghukum Malaysia apabila Ikhsan meledak gol kemenangan Singapura pada minit ke-75.

Selepas ini, skuad kebangsaan akan mengharungi aksi persahabatan terakhir berdepan kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC Singapore di Stadium Jalan Besar pada Isnin. – UTUSAN ONLINE

(Visited 13 times, 1 visits today)

COMMENTS