Siswazah menganggur: Pemuda Amanah kesal kenyataan timbalan menteri
Siswazah menganggur: Pemuda Amanah kesal kenyataan timbalan menteri

Siswazah menganggur: Pemuda Amanah kesal kenyataan timbalan menteri

Pemuda Amanah Pendang hari ni menyatakan rasa kesal di atas kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim yang meletakkan kesalahan ke atas siswazah kononnya memilih lokasi tertentu untuk memohon pekerjaan dan mempunyai kemahiran insani yang rendah sebagai punca masalah pengangguran.

Ketuanya, Mohamad Fuad Md Nawawi berkata, isu pengangguran adalah isu global yang kesalahannya tidak boleh dihalakan seratus peratus kepada pencari kerja. Banyak faktor lain yang perlu diambil kira dalam menyumbang kepada statistik pengangguran dalam negara ketika ini.

“Keadaan ekonomi semasa adalah faktor utama dalam menentukan aspek penawaran pekerjaan kepada ‘fresh graduate’, dalam keadaan ekonomi yang menguncup atas pelbagai faktor kini, tidak banyak yang kita boleh harapkan daripada industri untuk menambah peluang pekerjaan kepada graduan baru,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau lagi, faktor kerajaan yang tidak stabil juga boleh mempengaruhi keyakinan pelabur untuk melabur di dalam negara dan negeri ini sekaligus boleh menyebabkan ketiadaan peluang pekerjaan yang baru diwujudkan.

Kerajaan juga katanya boleh memainkan peranan membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat melalui pelaksanaan pelbagai projek yang memberi manfaat kepada negara dan juga negeri.

“Sebagai contoh kita boleh lihat rancangan kerajaan Pakatan Harapan terdahulu yang merancang membina Kulim International Airport (KXP), yang sudah diluluskan oleh kerajaan Pusat (namun pelaksanaannya dikaji semula apabila PN mengambil alih Putrajaya), bakal membuka lebih 18,000 peluang pekerjaan baru. Begitu juga dengan Projek Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap seluas lebih 500 hektar yang berpotensi mewujudkan sebanyak 14,500 peluang pekerjaan membabitkan pelbagai peringkat kepakaran. “

“Inilah antara contoh yang boleh kita lihat sebagai kerajaan yang benar-benar berfungsi untuk kesejahteraan rakyat, bukan hanya pandai menunding jari menyalahkan siswazah dan anak muda semata-mata di atas isu pengangguran ini.”

Walaubagaimanapun, tambah beliau, Pemuda Amanah Pendang mengucapkan terima kasih diatas pengakuan Timbalan Menteri itu yang menyatakan bahawa seramai lebih 7000 siswazah berjaya menemukan pekerjaan hasil daripada penganjuran karnival kerjaya dan temuduga terbuka yang mana penganjurannya telah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu sekaligus membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Harapan semenangnya cakna kepada anak muda dan banyak membantu graduan dalam memperoleh pekerjaan.

Penganjuran karnival kerjaya mampu membuka peluang kepada siswazah untuk bertemu secara terus dengan bakal majikan. Gambar: Karnival kerjaya anjuran JobsMalaysia di Pendang tahun lalu.

(Visited 11 times, 1 visits today)

COMMENTS