Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia - KPK
Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia – KPK

Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia – KPK

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 13 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 8,945 kes (96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 21 Ogos 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat sembilan (9) kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,249 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 179 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada sembilan (9) kes baharu yang dilaporkan, empat (4) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan semua bukan warganegara. Empat (4) kes import tersebut adalah dari negara:

  1. Filipina (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur);
  2. Austria (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur);
  3. Indonesia (1 kes di Selangor); dan
  4. India (1 kes di Selangor).

Daripada lima (5) kes penularan di dalam negara, empat (4) adalah warganegara Malaysia dan satu (1) bukan warganegara iaitu kes saringan sebelum pulang ke negara asal. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia (4 kes) pula adalah:

  1. Kedah: tiga (3) kes daripada Kluster Tawar; dan
  2. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: satu (1) kes daripada Kluster Maju (iaitu kluster baharu)

Kedua-dua kluster ini akan diperincikan di bawah.

Sehingga kini, terdapat tujuh (7) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat (4) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes (1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

KLUSTER MAJU

KKM ingin memaklumkan sebuah kluster baharu yang dikesan di sebuah restoran di Titiwangsa, Kuala Lumpur. Dua (2) kes pertama kluster ini iaitu kes ke-9176 dan kes ke-9177 telah dilaporkan pada 16 Ogos 2020. Mereka merupakan pekerja di restoran tersebut yang dikesan hasil saringan rawak ke atas pekerja restoran dan kedai makan yang telah dijalankan di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur.

Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan di mana kes baharu kluster ini yang merupakan pelanggan restoran tersebut telah dikesan. Beliau mengalami gejala sakit tekak dan sakit kepala sejak 17 Ogos 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Setakat ini, seramai 672 orang telah disaring, termasuk 16 pekerja dan 656 orang pelanggan. Daripada jumlah ini:

  • Tiga (3) kes dikesan positif COVID-19; dan
  • 669 individu negatif.

Aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat sedang diteruskan. Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di kedai makan tersebut.

STATUS TERKINI KLUSTER TAWAR

Terdapat tiga (3) kes baharu dilaporkan bagi Kluster Tawar di negeri Kedah, justeru menjadikan jumlah kes dikesan positif COVID-19 kluster ini sebanyak 58 kes. Sehingga 21 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 2,733 orang telah disaring dalam kluster ini. Pecahan saringan mengikut negeri yang terbabit adalah seperti berikut:

  1. Kedah (2,256 disaring):
    • 47 kes dikesan positif COVID-19;
    • 1,985 individu negatif; dan
    • 224 individu masih menunggu keputusan.
  2. Pulau Pinang (466 disaring):
    • 11 kes dikesan positif COVID-19;
    • 430 individu negatif; dan
    • 25 individu masih menunggu keputusan.
  3. Perak: 11 disaring dan kesemuanya negatif.

Pengesanan kes dan saringan kontak rapat bagi kluster ini masih diteruskan. Situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin menasihatkan orang ramai agar kekal waspada dan terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan. Jadikanlah nasihat-nasihat ini satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian:

  • Elakkan 3S / 3C : iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
  • Amalkan 3W : iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), memakai alat pelitup muka (facemask) di tempat awam yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020 atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
    • Elakkan bersalaman / bersentuhan;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu iaitu:

  • S : Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
  • O : Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P : Penjarakan fizikal (physical distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

 

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

21 Ogos 2020 @ 5.00 petang.

 

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 21 OGOS 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERI BILANGAN KES BAHARU *(    ) BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS 0 31
KEDAH 3 193
PULAU PINANG 0 136
PERAK 0 269
SELANGOR 2 (2) 2,153
NEGERI SEMBILAN 0 1,034
MELAKA 0 259
JOHOR 0 751
PAHANG 0 370
TERENGGANU 0 114
KELANTAN 0 160
SABAH 0 416
SARAWAK 1 687
W.P. KUALA LUMPUR 3 (2) 2,554
W.P. PUTRAJAYA 0 99
W.P. LABUAN 0 23
JUMLAH KESELURUHAN 9 (4) 9,249

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import

(Visited 3 times, 1 visits today)

COMMENTS