Speaker Kedah Tolak Bahas Isu "Kepala Air di Gunung Inas"
Speaker Kedah Tolak Bahas Isu “Kepala Air di Gunung Inas”

Speaker Kedah Tolak Bahas Isu “Kepala Air di Gunung Inas”

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Juhari Bulat menolak dua usul tergempar yang dikemukakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang pada persidangan DUN ke-14 pada Isnin.

Usul pertama dikemukakan oleh ADUN Pengkalan Kundor, Datuk Dr Ismail Salleh yang mengetengahkan isu banjir kepala air yang berlaku di negeri Kedah buat kali kedua. Sebelum ini kejadian kepala air berlaku di Jerai dan kali kedua berlaku di Baling yang menyebabkan kematian dan kemusnahan harta benda yang amat dahsyat.

Dr. Ismail berkata, pihaknya sangat bimbang dengan kejadian bencana seperti itu akan terus berlaku sekiranya tiada langkah khusus yang diambil oleh kerajaan negeri memandangkan perubahan iklim yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.

“Oleh itu, saya mengusulkan agar isu bencana kepala air ini dibincangkan dalam sidang DUN kali ini kerana ia menepati kriteria, iaitu perkara yang perlu disegerakan dan melibatkan kepentingan awam,” katanya berdasarkan kepada surat usul tergempar bertarikh 17 Julai.

Usul kedua yang ditolak oleh Speaker adalah dikemukakan oleh ADUN Derga, Tan Kok Yew yang membawa usul agar menangguhkan mesyuarat DUN bagi membolehkan isu banjir kepala air dibincangkan.

Juhari kemudian memaklumkan, kedua-dua usul terbabit ditolak berikutan tempoh notis yang diberikan terlalu singkat walaupun pihaknya telah menerima cadangan usul tergempar sebelum persidangan bermula.

“Usul ditolak sebab tidak mengikut peraturan masa 14 hari. Sepatutnya ada 14 hari untuk kemukakan usul biasa, usul tergempar dan penting dalam tujuh hari manakala untuk usul yang terlalu penting dengan kebenaran Menteri Besar boleh dibuat dalam sehari,” jelas Juhari.

(Visited 342 times, 1 visits today)

COMMENTS