Sukarkan perokok, penghisap vape dengan mengehadkan stok
Sukarkan perokok, penghisap vape dengan mengehadkan stok

Sukarkan perokok, penghisap vape dengan mengehadkan stok

Kuala Lumpur: Sukarkan perokok atau penghisap vape dengan mengehadkan stok, ruang menghisap selain kempen yang diadakan secara menyeluruh.

Dengan cara itu, ia akan membentuk rasa susah untuk menghisap nikotin berkenaan terutama dalam kalangan remaja di negara ini.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, usaha bersungguh-sungguh perlu dilakukan oleh semua pihak di setiap peringkat bagi membudayakan katakan tidak kepada nikotin tidak kira sama ada vape atau rokok.

Katanya, kempen berhenti merokok yang dijalankan perlu dijalankan dengan sebaik mungkin bagi menghindari generasi muda dengan tabiat tidak baik itu.

“Ia adalah perkara yang amat sukar, tapi saya percaya ia boleh dilaksanakan oleh jabatan kesihatan di seluruh negara dengan bantuan badan bukan kerajaan (NGO) dan individu.

“Menyukarkan perokok atau penghisap vape ini termasuklah juga menyukarkan mereka mendapatkan stok.

“Seperti kita tengok sekarang ini di tempat awam seperti kedai makan, tidak boleh merokok. Lepas ini mungkin boleh dilaksanakan satu bangunan hanya ada satu saja kawasan dibenarkan merokok. Sudah pasti ia akan menyusahkan,” katanya kepada Harian Metro.

Bulan lalu, sejumlah 57 NGO membabitkan kumpulan profesional perubatan, kesihatan dan pengguna di negara ini, menyokong cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) membentangkan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok serta mewujudkan peruntukan berkaitan ‘Generational End Game (Generasi Penamat)’ di Parlimen.

Antaranya termasuk Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health), Malaysian Women’s Action for Tobacco Control and Health (MyWATCH), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan Pertubuhan Rangkaian Pembangunan Kesinambungan Malaysia (SUSDEN Malaysia), Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), National Cancer Society of Malaysia, Persatuan Perunding Penyakit Tidak Berjangkit (NCD Consultant Chapter), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) serta Pertubuhan Masyarakat Sejahtera Tanpa Asap Rokok Terengganu (my STAR).

Kepada mereka, isu ketagihan rokok di Malaysia ini semakin parah apabila terdapat lambakan produk merokok alaf baharu iaitu rokok elektronik dan vape yang sudah pasti akan menyebabkan negara ini terlambat daripada mencapai The End Game dalam tempoh yang dijangkakan.

Dr Muhamad Akmal berkata, pembentukan sikap sejak dari awal adalah perlu dan kerjasama semua pihak adalah perlu bagi merealisasikannya.

“Selain daripada kempen sedia ada, kita kena menyukarkan mereka menghisap dan mendapatkan stok. Kalau kita beri tempat yang paling bawah atau paling sukar, lama kelamaan mereka akan berhenti.

“Program juga perlu dilakukan secara menyeluruh dan memberi impak. Bukan hanya sekadar ada program, tetapi kita perlu pastikan ia memberi kesan. Memang sudah ada, tapi kita perlu pastikan ia berjaya.

“Saya percaya semua cabarannya sama di mana saja, jadi kita kena bersama-sama berganding bahu, jika tidak, ia hanya jadi slogan saja,” katanya.–HM

(Visited 17 times, 1 visits today)

COMMENTS