Sultan Kedah dukacita kes Covid19 kekal tinggi, gesa kerajaan perluas vaksinasi

Sultan Kedah dukacita kes Covid19 kekal tinggi, gesa kerajaan perluas vaksinasi

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan rasa dukacita dengan kes harian COVID-19 di negeri itu yang masih kekal menunjukkan jumlah empat angka sejak sebulan lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Paduka Bakar Din dalam kenyataan hari ini memaklumkan Sultan Sallehuddin menegaskan bahawa kerajaan harus memperluaskan vaksinasi kepada populasi yang layak memandangkan ianya merupakan kaedah yang berkesan dalam mengawal jangkitan baharu.

Sehingga 16 Ogos 2021, kadar vaksinasi bagi populasi dewasa yang berumur 18 tahun ke atas di Kedah yang telah menerima dua dos suntikan baru mencecah 31.8 peratus manakala bagi penerima satu dos suntikan adalah sebanyak 55 peratus.

Situasi berkenaan menunjukkan negeri Jelapang Padi itu berkemungkinan akan lewat mencapai imuniti kelompok seperti disasarkan sekiranya langkah serius tidak diambil dari sekarang.

Sehubungan itu, baginda menyeru agar kesemua hospital-hospital swasta, klinik-klinik pengamal perubatan am, badan-badan korporat dan swasta untuk bersama berganding bahu memberikan bantuan, sokongan dan sumbangan sesuai dengan peranan serta kemampuan masing-masing dalam memangkin peningkatan kadar vaksinasi.

Sultan Sallehuddin turut bertitah agar Kerajaan Persekutuan dapat membekalkan jumlah vaksin yang lebih banyak kepada Kedah dalam usaha mencapai imuniti kelompok selain dapat mempercepatkan pemulihan sektor ekonomi.

Dalam pada itu, Baginda menzahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan dan sukarelawan di hospital serta Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri Kedah yang sedang bertungkus lumus menjalankan tugas yang telah diamanahkan.

Baginda turut bertitah, agar semua rakyat negeri Kedah menjaga diri dan keluarga masing-masing supaya terhindar daripada dijangkiti COVID-19 selain mematuhi arahan yang telah ditetapkan dari semasa ke semasa. AWANI

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )