Sultan Nazrin Muizzuddin jalankan tugas Agong

Sultan Nazrin Muizzuddin jalankan tugas Agong

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong sepanjang keberangkatan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dalam lawatan khas ke United Kingdom mulai hari ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ia selaras dengan Perkara 33(1) dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ahmad Fadil menambah, seusai lawatan khas Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, baginda berdua berkenan beristirehat di London bermula 27 September dan dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Oktober.

“Sekembali ke tanah air kemudian, Seri Paduka Baginda berdua berkenan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” demikian menurut kenyataan tersebut hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadil berkata sepanjang lawatan khas hingga 27 September itu, Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat melawat Projek Battersea Power Station di London, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square serta Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford.

Atur cara lawatan khas tersebut turut diisi dengan pertemuan antara Seri Paduka Baginda berdua bersama komuniti rakyat Malaysia di London.

Selain itu, Seri Paduka Baginda turut dijadualkan berangkat menghadiri Sandhurst Reunion Dinner di Royal Military Academy Sandhurst, katanya.

“Seri Paduka Baginda pernah menimba ilmu ketenteraan di akademi berkenaan dari 1978 hingga 1979.

“Seri Paduka Baginda turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Sir General Nicholas Carter, Ketua Staf Pertahanan UK, yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan UK.

“Sir General Nicholas Carter juga pernah menuntut di Royal Military Academy Sandhurst,” kata Ahmad Fadil.

Jelas beliau, lawatan khas tersebut merupakan kali kedua bagi Seri Paduka Baginda ke UK sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Lawatan khas yang pertama, katanya, telah diadakan pada bulan Disember 2019 selama tujuh hari bermula 9 Disember.

“Dari segi hubungan dua hala, UK merupakan rakan dagang ke-18 terbesar bagi Malaysia pada tahun 2020 dengan jumlah dagangan direkodkan di antara kedua negara sebanyak RM16.59 bilion (GBP3.08 bilion), peningkatan sebanyak 0.8 peratus berbanding tahun 2019.

“Nilai eksport Malaysia ke UK pada tahun lalu juga telah direkodkan sebanyak RM9.91 billion (GBP1.84 billion), manakala nilai import dari United Kingdom sebanyak RM6.68 billion (GBP1.24 billion),” katanya.

Terdahulu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan lawatan khas tersebut melambangkan kepentingan hubungan erat di antara Malaysia dan UK dimanifestasikan di peringkat pemerintahan tertinggi negara.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )