Sultan Sharafuddin Idris Shah larang Menteri Agama dan timbalannya campuri urusan Jawatankuasa Muzakarah dan MKI
Sultan Sharafuddin Idris Shah larang Menteri Agama dan timbalannya campuri urusan Jawatankuasa Muzakarah dan MKI

Sultan Sharafuddin Idris Shah larang Menteri Agama dan timbalannya campuri urusan Jawatankuasa Muzakarah dan MKI

Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam.

Hal itu kerana, titah baginda, Jakim hanya berfungsi sebagai urus setia kepada jawatankuasa berkenaan, serta Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Sultan Sharafuddin yang juga pengerusi MKI menambah sebarang isu berkaitan jawatankuasa muzakarah serta MKI bukan berada dalam bidang kuasa mereka.

“Beta selaku Pengerusi MKI ingin membuat kenyataan di sini bahawa Jakim tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan-keputusan yang dibuat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kerana ia adalah di bawah bidang kuasa pengerusi jawatankuasa muzakarah, MKI dan Majlis Raja-Raja,” titah baginda.

Dalam kenyataan sama, Sultan Sharafuddin juga mengingatkan bahawa larangan mengeluarkan kenyataan juga terpakai kepada Menteri Agama, Idris Ahmad, serta timbalannya, Ahmad Marzuk Shaary.

Menteri Agama, Idris Ahmad dan timbalannya Ahmad Marzuk Shaary

Titah baginda kedua-dua mereka tidak boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan yang diputuskan oleh jawatankuasa muzakarah.

“Sebaliknya, hanya Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah yang boleh menyembah maklum kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan.

“Setelah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja, pelaksanaan keputusan muzakarah diserahkan kepada pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa agama Islam setiap negeri,” titah baginda lagi.

Sementara itu mengulas mengenai isu Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani, baginda bertitah keputusan muzakarah sudah mendapat perkenan sembah maklum Majlis Raja-Raja pada 4 Jan 2021.

“Butiran penuh kepada keputusan muzakarah ini boleh dirujuk menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah pada 8 April 2022.

“Untuk makluman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan timbalannya bukan ahli MKI mahupun ahli Jawatankuasa Muzakarah, justeru mereka tidak boleh mencampuri apa-apa keputusan Jawatankuasa Muzakarah dan MKI,” titah baginda lagi.

Terdahulu baginda berkenan menerima menghadap Pengerusi MKI, Wan Zahidi Wan Teh, dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam, Dr Afifi al-Akiti di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Turut menghadap, Mufti Selangor Anhar Opir.

(Visited 294 times, 1 visits today)

COMMENTS