SUMBANGAN DIALU-ALUKAN UNTUK DISALURKAN KEPADA KELUARGA TERKESAN COVID-19.
SUMBANGAN DIALU-ALUKAN UNTUK DISALURKAN KEPADA KELUARGA TERKESAN COVID-19.

SUMBANGAN DIALU-ALUKAN UNTUK DISALURKAN KEPADA KELUARGA TERKESAN COVID-19.

ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah bersedia menerima sumbangan daripada mana-mana pihak untuk membantu seramai mungkin warga negeri ini yang terkesan akibat COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir berkata, terdapat dua cara untuk menyalurkan bantuan tersebut dengan pertamanya menerusi Pemindahan Dana Elektronik (EFT) ke dalam akaun kerajaan negeri di bawah nama Bendahari Negeri Kedah menerusi akaun Bank Islam bernombor 02011010080008.

“Sewaktu melakukan EFT tersebut, pihak penyumbang boleh meletakkan rujukan ‘Tabung Bencana Kedah’. Wang ini akan digunakan untuk membantu seramai mungkin warga Kedah yang terkesan akibat COVID-19 dan PKP.

“Selain itu kerajaan negeri mengalu-alukan sumbangan mana-mana pihak untuk memberikan barangan makanan kering seperti beras, gula, minyak masak dan sebagainya kepada pusat pengumpulan makanan dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Sementara itu katanya, di Kedah seramai 12,000 individu telah menerima bantuan pek makanan di bawah Tabung Bantuan COVID-19 dikendalikan JKM.

Selain itu katanya di terdapat 15,000 individu menerima bantuan menerusi Parlimen masing-masing iaitu 1,000 orang di setiap Parlimen.

Menurutnya sebanyak 10,327 pek makanan diterima JKM menerusi sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan 8,421 telah diagihkan manakala bakinya dalam proses pengagihan.

“Itu belum termasuk pemberian oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Exco angkat sebanyak kira-kira 2,000 di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita juga akan mengagihkan Bantuan Rangsangan Ekonomi sebanyak RM300 kepada 700 individu di setiap DUN seperti diumumkan sebelum ini. Setakat ini kita masih menanti urusan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) selesai dan mana-mana individu yang tercicir menerima BPN, mereka akan kita bantu,” katanya.

Beliau dalam pada itu memaklumkan, kerajaan negeri tidak pernah berhenti daripada membantu masyarakat termiskin di negeri ini.

“Data e-kasih menunjukkan terdapat 4005 orang didaftarkan sebagai miskin manakala 712 lagi merupakan miskin tegar di negeri ini. Jumlah individu yang mendapat bantuan bulanan asnaf pula seramai 22,193 orang.

“Manakala di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), terdapat 42,498 orang menerima bantuan setiap bulan. Jadi ini cara kerajaan negeri meringankan beban rakyat termiskin di Kedah,” katanya.

Beliau dalam pada itu mengharapkan supaya mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan, supaya mematuhi peraturan di sepanjang tempoh PKP.

“Kita alu-alukan niat murni mereka itu namun patuhlah kepada peraturan ditetapkan antaranya hanya dua wakil NGO dibenarkan hadir untuk salurkan bantuan selain NGO terlibat mesti berdaftar sebagai pertubuhan sah dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Mereka juga perlu mendaftar dengan JKM di peringkat daerah di mana bantuan hendak disalurkan. Sebaikya, sertakanlah nama penerima kemudian bantuan itu akan diuruskan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mahu pun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya.

(Visited 7 times, 1 visits today)

COMMENTS