SUMBANGAN RM300 BUAT GOLONGAN TERPUTUS MATA PENCARIAN AKIBAT PKP DI KEDAH-MUKHRIZ MAHATHIR.
SUMBANGAN RM300 BUAT GOLONGAN TERPUTUS MATA PENCARIAN AKIBAT PKP DI KEDAH-MUKHRIZ MAHATHIR.

SUMBANGAN RM300 BUAT GOLONGAN TERPUTUS MATA PENCARIAN AKIBAT PKP DI KEDAH-MUKHRIZ MAHATHIR.

ALOR SETAR – Kerajaan negeri akan memberi sumbangan sebanyak RM300 secara ‘one off’ kepada rakyat negeri ini yang terputus mata pencarian ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir berkata, pemberian itu merupakan sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM10 juta diumumkan kerajaan negeri sebelum ini.

“Edaran borang akan dibuat kepada mereka yang terputus mata pencarian. Sumbangan sebanyak RM300 akan kita agihkan kepada golongan yang tidak dapat mencari pendapatan di sepanjang PKP secara ‘one off’.

“Kita merayu kepada semua pihak yang ingin memohon agar bersikap jujur supaya tidak berlaku pertindihan. Terkadang mereka telah memohon dari pihak lain dan ada juga yang suami pohon, isteri pun mohon sedangkan kita ada sumber terhad,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Tambahnya, sebolehnya kerajaan negeri mahu seramai mungkin rakyat dapat menerima manfaat dari peruntukan tersebut.

“`”Jadi kita rayu kepada semua pihak agar memberi kerjasama. Borang-borang ini ada yang boleh diperolehi secara atas talian dan untuk ‘hard copy’ pula akan diedarkan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.“`

Sementara itu Mukhriz berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk membenarkan penangguhan pembayaran sewa beli skim Rancangan Perumahan Awam (RPA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik kerajaan negeri untuk tempoh enam bulan bermula 1 April hingga 30 September 2020.

“Begitu juga dengan bayaran sewa skim PPR transit serta bayaran sewa kedai di bawah seliaan Bahagian Perumahan. Mereka turut dikecualikan pembayaran bagi tempoh sama iaitu enam bulan dengan penangguhan itu mendatangkan implikasi kewangan sebanyak RM6 juta kepada kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini telah diberikan peruntukan sebanyak RM30,000 bermula hari ini bagi memberi bantuan kepada rakyat di kawasan masing-masing.

“Kita sentiasa berlaku adil kerana kita sedar, rakyat di kawasan mereka turut memerlukan bantuan. Tak kira kerajaan atau pembangkang, kita sediakan peruntukan buat mereka membantu rakyat,” katanya.

(Visited 1 times, 1 visits today)

COMMENTS