‘Syafiq Ahmad, Perjalanan Suka Dan Duka Selaku Pemain Bola Sepak Profesional’
‘Syafiq Ahmad, Perjalanan Suka Dan Duka Selaku Pemain Bola Sepak Profesional’

‘Syafiq Ahmad, Perjalanan Suka Dan Duka Selaku Pemain Bola Sepak Profesional’

Penyerang kebangsaan ini sudah menikmati musim yang baik di Johor Darul Takzim (JDT) pada musim 2019 sewaktu menjadi pemain gantian bekas import mereka, Diogo.

Menurut Mora ketika itu dalam sidang media final Piala Malaysia 2019 mengenai aksi Syafiq ketika menggantikan Diogo:-
“Jika Diogo tiada di dalam padang, adakah ianya berbeza, adakah ianya baik atau buruk? Bagi saya, ianya berbeza. Mereka beri kesan berbeza kepada pasukan. Kedua-duanya berada pada tahap yang terbaik. Diogo pamer kebijakkannya, berikan segala pengalaman, pamer kawalan bola yang baik dan tentunya menjaringkan gol.

“Tetapi, Syafiq Ahmad ketika ini adalah pemain penyerang terbaik di dalam Malaysia. Sebagai pemain nombor 9, sebagai penyerang kedua, dia juga boleh bermain di sayap dan beraksi di belakang penyerang utama. Dia boleh buat banyak tugasan dalam padang.

“Dia adalah pemain yang bagus dan dalam prestasi terbaik. Saya tidak risau memasukkan Syafiq tetapi sedih kerana Diogo tidak dapat meneruskan permainannya.”

Prestasi Syafiq ketika itu sangat memuncak bersama pasukan dalam negara. Penyerang berbakat ini juga tidak diam dalam aksi kebangsaan ketika itu dengan gah mencipta nama selaku salah seorang penyerang berbisa.

Syafiq meledak tiga gol dalam aksi persahabatan sewaktu bertemu Sri Lanka ketika Harimau Malaya berpesta gol dengan keputusan penuh 6-0.
Sebelum itu, Syafiq juga gah mencatat jaringan sewaktu bertemu Indonesia dalam aksi pertama kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Selain itu, Syafiq juga menyumbang satu gol tunggal sewaktu bertemu UAE dalam saingan yang sama pada tahun tersebut.

Pada tahun 2020, nama Syafiq sedikit hilang dalam suasana bola sepak negara ditambah dengan pandemik Covid-19 yang merencatkan perjalanan bola sepak negara.

Detik menyedihkan beliau ketika itu apabila Syafiq mengalami kemalangan jalanraya sehingga kehilangan anak tercinta pada penghujung tahun tersebut.

Pada tahun 2021, prestasi Syafiq mula diragui setelah sekian lama tidak menjadi antata tonggak bersama JDT.
Jelas TMJ yang pernah berkata ketika itu, prestasi pemain ini tidak lagi menyerlah seperti mana karier beliau meletup sebelum kemalangan lagi.

Syafiq juga telah mencipta satu kontroversi pada tahun tersebut apabila secara tidak sengaja meluahkan emosi beliau dalam laman Twitter yang seolah bersedih melihat rakan-rakan lain masih mampu bermain bola sepak.

“Saya dengan rendah diri memohon maaf atas tweet yang mengikut perasaan saya semalam kepada rakan sepasukan, kelab dan terutamanya sekali Tunku Mahkota Johor yang banyak membantu saya selama ini di dalam dan di luar padang.

“Saya mengakui saya tidak sepatutnya bertindak mengikut emosi dan seharusnya fikir di mana kesilapan saya selama ini,” katanya.
TMJ ketika itu dengan tegas membidas kenyataan Syafiq di Twitter apabila menyatakan skuad Harimau Selatan itu adalah kelab bola sepak dan bukannya kelab kebajikan sosial.

“Ini kelab bola sepak. Bukan kelab kebajikan sosial. Siapa yang berlatih dengan bagus dan bekerja keras, dia akan bermain. Siapa yang tidak, dia tak akan bermain. Tak suka? Pintu adalah terbuka. Ini bukan penjara,” kata Tunku Ismail.

Namun TMJ juga mengerti akan keinginan pemain ini yang mahu akan minit permainan dan lebih kerap beraksi.

Untuk itu pemain ini dipinjamkan ke Kedah bagu musim 2022 demi mencari kembali apa yang Syafiq hilang sejak beberapa lama dalam karier beliau selaku pemain bola sepak.

Semalam, Syafiq berjaya meluahkan segala kepuasan beliau dalam dunia bola sepak sewaktu aksi menentang Kuala Lumpur City bagi saingan Liga Super 2022.

Satu gol ‘signature’ tandukan serta satu bantuan gol buat Dennis Buschening berjaya dicatat beliau dalam perlawanan tersebut yang pastinya memberi segala kepuasan yang diinginkan Syafiq sejak sekian lama.

Terbaharu, nama Syafiq masih lagi tersenarai bagi skuad kebangsaan bawah kejurulatihan Kim Pan Gon. Ini masany untuk Syafiq terus buktikan yang beliau masih lagi relevan.

Moga Syafiq Ahmad kembali menjadi salah seorang penyerang digeruni dalam Malaysia.

Bangkitkan kembali segala yang terpendam bersama satu tekad demi mengggapai impian selaku pemain bola sepak profesional.

(Visited 99 times, 1 visits today)

COMMENTS