Tabung Haji tutup kedai jika Pakatan Harapan tidak selamatkan - Mujahid Yusof.
Tabung Haji tutup kedai jika Pakatan Harapan tidak selamatkan – Mujahid Yusof.

Tabung Haji tutup kedai jika Pakatan Harapan tidak selamatkan – Mujahid Yusof.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, defisit Tabung Haji (TH) sudah berjumlah RM10 bilion ketika Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan dua tahun lalu.

Menurutnya, kerajaan PH kemudiannya membuat suntikan dana bersih sebanyak RM17.8 bilion kepada TH dan membiayai institusi umat Islam itu dalam tempoh 10 tahun dari 2020 hingga 2030 bagi memulihkan agensi itu.

“Bila kami ambil alih (kerajaan) Mei 2018, defisit (TH) sudah membengkak kepada RM10 bilion. Kenapa? Ini soal integriti.

“Bukan sahaja aset semakin berkurangan dan ini amat berbahaya untuk kawan-kawan (Perikatan Nasional) yang menuduh pelbagai tuduhan termasuk Pengerusi TH ada di sini.

“Sejak tahun 2014, Gabenor Bank Negara telah memberi amaran dan kita sebagai pembangkang ketika itu telah melahirkan kebimbangan ini cuma waktu itu kita bukan kerajaan

“Tapi bila kita ambil alih, begitu juga Jabatan Audit Negara, bukan saja isu aset dalam kedudukan berbahaya tetapi nilai rosot sebenar pada aset itu tidak dibuat

“Sebab itu ketika saya ambil alih defisit ketika itu sudah RM10 bilion bukan RM4.1 bilion,” jelas Mujahid ketika mencelah perbahasan Titah Diraja Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam.

Untuk rekod, kerajaan PH tahun lalu merancang akan membuat peruntukan sebanyak RM500 juta pada tahun 2020 dan seterusnya sebanyak RM1.73 bilion setahun sehingga semua sukuk ditebus semula.

Kerajaan PH sebelum ini komited memastikan TH terus terbela termasuk membuat pelan pemulihan TH menerusi syarikat tujuan khas (SPV) iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang membeli aset TH yang hanya bernilai RM9.7 bilion dengan harga RM19.9 bilion.

Melanjutkan penjelasannya, Mujahid berkata, wujud juga kesalahan besar dari sudut integriti dalam TH sebelum PH mengambil alih kerajaan apabila hibah terus dibayar sekali gus menyalahi akta yang sepatutnya.

“Pengerusi TH mempertahankan akta TH ini tetapi kerana mahu juga memberi hibah maka mereka pun buat akaun cantik-cantik tak ikut pun nilai rosot yang sebenar.

“Jikalau berterusan, dalam Dewan ini saya ingin menyatakan mungkin Tabung Haji (TH) tutup kedai kalau tidak ada Pakatan Harapan menyelamatkan TH,” tegas Mujahid.

Sehubungan itu, beliau yang juga Naib Presiden AMANAH menuntut komitmen kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha memulihkan masalah kewangan TH.

“Minta Port Dickson bertanyakan kepada menteri hari ini, adakah PN ada komitmen berterusan untuk menyelamatkan TH?” ujarnya lagi di sini.

(Visited 3 times, 1 visits today)

COMMENTS