Terbabit rompakan RM2 juta, Lima Geng Fizi ditahan PDRM

Terbabit rompakan RM2 juta, Lima Geng Fizi ditahan PDRM

Sungai Petani: Polis menahan lima ahli Geng Fizi termasuk dua beranak yang terbabit dalam kes pecah rumah di Bandar Utama di sini, yang mengakibatkan kerugian RM2 juta bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata kesemua suspek ditahan antara 19 September hingga 1 Oktober lalu, sekitar Kupang dan Bukit Selambau, Kedah serta di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

Jelasnya, semua suspek lelaki berusia antara 26 hingga 56 tahun itu dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah sekitar daerah Kuala Muda sejak awal tahun ini.

“Penahanan mereka adalah susulan laporan dibuat seorang suri rumah berusia 54 tahun yang kerugian RM2 juta selepas kediamannya dipecah masuk pada 14 September lalu.

“Dalam kejadian pada jam 2.40 petang itu, mangsa yang baharu pulang mendapati pintu pagar rumahnya terbuka sebelum mendapati peti besi di bilik tidur utamanya dipecahkan.

“Pemeriksaan kemudian mendapati wang tunai RM1.7 juta, sejumlah mata wang asing, barang kemas dan dua beg milik mangsa hilang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini, hari ini.

                                 

Adzli berkata, semakan rekod ke atas salah seorang suspek berusia 31 tahun yang juga dalang utama geng berkenaan mendapati dia memiliki 37 rekod jenayah lampau termasuk kes dadah.

“Empat suspek lagi turut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah selain dua daripada mereka positif dadah jenis methampetamine.

“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM105,000, mesin gerudi dan 12 beg tangan mewah pelbagai jenama,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan seorang wanita berusia 20 tahun untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya.

Berita penuh : HMetro

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )