Terima Kasih MB Guna Belanjawan Saya - Faizal Azumu
Terima Kasih MB Guna Belanjawan Saya – Faizal Azumu

Terima Kasih MB Guna Belanjawan Saya – Faizal Azumu

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar baharu Perak, Datuk Saarani Mohamad di atas kesudian kerajaan Perak yang bakal mengumumkan usul Belanjawan Negeri Perak 2021 disediakan beliau sebelum ini, dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Bekas Menteri Besar Perak itu berkata, apabila pihaknya dimaklumkan pembentangan usul Belanjawan Negeri Perak 2021 akan mengguna pakai usul disediakan pihaknya tanpa sebarang perubahan, beliau terharu dan menyuarakan komitmen bagi memastikan kestabilan politik kerajaan negeri akan terus dikekalkan.

Menurutnya, walau apa jua desas-desus diperkatakan, beliau dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersedia memberi jaminan untuk terus menyokong pentadbiran kerajaan negeri baharu di bawah pimpinan Saarani.

“Bersatu dan saya sendiri bersedia memberi komitmen untuk menyokong beliau (Datuk Saarani) supaya beliau tidak akan berdepan masalah seperti saya (sewaktu menjadi Menteri Besar).

“Saya tidak mahu tiap-tiap sidang Dewan (DUN) berlangsung, beliau akan rasa bimbang Bersatu hendak buat usul undi percaya atau tidak percaya,” katanya dalam sesi wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di kediamannya di sini pada Selasa.

Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu menegaskan pihaknya mendambakan kestabilan kerajaan di bawah pimpinan Saarani akan terus dipertahankan sehingga tibanya waktu pilihan raya.

“Saya mengharapkan perkara baik dilakukan (kerajaan dipimpin beliau sendiri) sebelum ini dapat diteruskan.

“Mana yang baik diperbaiki, mana yang tidak betul, kita betulkan tanpa perlu kita merosakkan hubungan antara satu sama lain,” katanya.

Terdahulu, Saarani, 59, yang juga Pengerusi UMNO Perak dilantik Menteri Besar Perak ke-14, pada minggu lalu bagi menggantikan Ahmad Faizal yang meletak jawatan bersama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Ngeri (Exco).

Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun meletak jawatan selepas gagal mendapat sokongan menerusi usul ‘keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar’ pada Sidang DUN Perak, 5 Disember lalu.

Menerusi usul itu yang dibawa oleh Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru), Ahmad Faizal hanya mendapat 10 undi sokongan berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali.

Pencalonan Saarani sebagai Menteri Besar Perak yang baharu mendapat persetujuan daripada Bersatu, Barisan Nasional (BN) dan Pas yang dicapai menerusi perbincangan antara pucuk pimpinan ketiga-tiga parti, 9 Disember lalu.

DUN Perak merangkumi 25 daripada BN, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.

Artikel Penuh : Sinar Harian

(Visited 2 times, 1 visits today)

COMMENTS