Terkini! Tidak perlu ‘swab test’ untuk melancong ke Langkawi

Terkini! Tidak perlu ‘swab test’ untuk melancong ke Langkawi

Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan untuk memberhentikan keperluan ujian pengesanan Covid-19 sebelum melancong ke Pulau Langkawi berkuat kuasa serta merta.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata, sebagai langkah mengukuhkan tindakan kesihatan awam, pelancong yang memasuki pusat peranginan itu digalakkan menjalani ujian kendiri sebelum memulakan perjalanan ke pulau pelancongan itu.

“Sehingga Ahad lalu, seramai 54,341 pelancong sudah menjalani ujian pengesanan Covid-19 dan hanya 216 (0.4 peratus) pelancong dikesan positif.

“Hanya seorang pelancong yang mengalami gejala semasa di Langkawi dan didapati positif Covid-19 melalui ujian RT-PCR. Siasatan mendapati punca jangkitan bukan di Langkawi.

“Tiada kluster Covid-19 yang berpunca dari gelembung pelancongan di Langkawi. Sehubungan itu, KKM menyemak semula keperluan pengujian status jangkitan Covid-19 sebelum melancong ke Langkawi.

“Mengambil kira peratus pelancong yang dikesan positif semasa saringan yang sangat rendah, KKM memutuskan untuk memberhentikan keperluan ujian pengesanan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 16 September lalu kerajaan mengumumkan Projek Rintis Langkawi dan semua pelancong yang ingin memasuki pulau berkenaan diwajibkan menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

Ujian pengesanan Covid-19 sama ada RT-PCR atau RTK-Antigen perlu dilakukan di mana-mana fasiliti kesihatan serta makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas.

Dalam pada itu, Khairy berkata, syarat wajib vaksinasi Covid-19 lengkap bagi semua pelancong dewasa masih kekal dan perlu dipatuhi.

“Bagi individu mereka yang mengalami gejala seperti demam, batuk dan selsema, dinasihatkan agar menangguhkan dahulu perjalanan. Keluarga Malaysia mesti bertanggungjawab dalam usaha mencegah penularan jangkitan Covid-19.

“Kerajaan dan seluruh petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan sudah lakukan yang terbaik untuk merawat dan mengawal penularan jangkitan Covid-19 di dalam negara,” katanya. pencegahan sentiasa diamalkan.-HM

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )