TIADA BAZAR RAMADAN, AIDILFITRI DI KEDAH TAHUN INI.
TIADA BAZAR RAMADAN, AIDILFITRI DI KEDAH TAHUN INI.

TIADA BAZAR RAMADAN, AIDILFITRI DI KEDAH TAHUN INI.

ALOR SETAR – Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri hari ini memutuskan tiada bazar Ramadan atau Aidilfitri yang dibenarkan dibuka di Kedah pada tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir berkata, keputusan itu diambil bagi mengelakkan berlakunya himpunan hingga mendatangkan risiko besar kepada penularan pandemik COVID-19.

“Keputusan ini dibuat bagi mengelak orang ramai daripada berhimpun hingga mungkin menyebabkan penularan COVID-19 menjadi tidak terkawal.

“Oleh itu kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) yang telah berurusan termasuk mengambil deposit, perlu memulangkannya semula,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Sebelum ini Kerajaan Negeri Selangor dan Terengganu turut membuat pengumuman sama bagi memastikan penularan COVID-19 dapat ditangani sebaiknya.

Sementara itu katanya, kerajaan negeri telah menubuhkan satu badan baharu bagi menilai operasi perusahaan kecil sederhana di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Ia dikenali sebagai Badan Penilaian Dan Pemprosesan Operasi Perusahaan Kecil Sederhana (PKS). Badan ini akan bertindak untuk menilai serta memberi kelulusan operasi terhadap kilang PKS melibatkan barangan keperluan (essential) seperti kopi, teh dan tisu di Kedah.

“Disebabkan kilang ini berstatus PKS, operasinya tidak memerlukan kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kerana seliaannya dibuat di bawah PBT. Disebabkan itu, badan ini akan menilai jika kilang-kilang ini dibenarkan beroperasi dengan kelulusannya akan ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim,” ujarnya.

(Visited 1 times, 1 visits today)

COMMENTS