TNB SUMBANG 10 JUTA KEPADA KKM UNTUK BANTU PERANGI COVID-19.
TNB SUMBANG 10 JUTA KEPADA KKM UNTUK BANTU PERANGI COVID-19.

TNB SUMBANG 10 JUTA KEPADA KKM UNTUK BANTU PERANGI COVID-19.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menyumbang RM10 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memerangi pandemik Covid-19 yang telah mengorbankan dua nyawa di Malaysia.

Menurut Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min, sokongan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif TNB dan KKM untuk menggalakkan syarikat-syarikat korporat di Malaysia untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam mengekang penularan wabak tersebut.

Ini terutamanya apabila jumlah pesakit Covid-19 semakin meningkat di negara ini manakala sumber hospital kerajaan semakin sempat dalam menangani virus tersebut.

“Pakatan Korporat Malaysia Melawan Covid-19 menyeru syarikat-syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan organisasi-organisasi lain memberi ikrar sokongan kewangan kepada KKM dalam membantu menambah semula bekalan-bekalan perubatan di negara ini.

“Bantuan kewangan daripada TNB ini membolehkan KKM membeli peralatan perubatan dan kesihatan yang diperlukan dalam memerangi wabak Covid-19 ini.

“Kami sangat berharap supaya GLC dan syarikat-syarikat korporat lain di Malaysia akan turut sama menyertai pakatan ini dan membantu kami menghadapi pandemik ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perang melawan Covid-19 adalah tanggungjawab semua.

“Sebagai ketua syarikat-syarikat korporat di Malaysia yang mana kejayaan syarikat dibina di atas bahu jutaan rakyat, kita mestilah membayar semula pengorbanan tersebut.

“Kerjasama di antara sektor awam dan swasta adalah sangat perlu.

“Dengan itu, saya merayu kepada semua rakan-rakan dan taulan dari Korporat Malaysia untuk sama-sama berganding bahu bersama kami dalam menghadapi cabaran ini.

“Berikanlah sumbangan anda untuk membantu pekerja-pekerja kesihatan barisan hadapan,” katanya.

Syarikat dan organisasi yang berminat untuk memberikan sokongan boleh menghubungi KKM di talian 038883 3069/3076/2406.

(Visited 2 times, 1 visits today)

COMMENTS