TNB SUMBANG RM2 JUTA KEPADA HOSPITAL KERAJAAN DI KEDAH
TNB SUMBANG RM2 JUTA KEPADA HOSPITAL KERAJAAN DI KEDAH

TNB SUMBANG RM2 JUTA KEPADA HOSPITAL KERAJAAN DI KEDAH

ALOR SETAR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini menyerahkan sumbangan sebanyak RM2 juta kepada kerajaan negeri bagi disampaikan kepada hospital-hospital kerajaan di Kedah dalam usaha memerangi pandemik COVID-19.

Ketua Khidmat Pelanggan TNB Kedah, Wan Ishak Soed berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan dalam memberi khidmat kepada negara dan rakyat.

“Sumbangan ini akan diserahkan kepada hospital kerajaan di Kedah yang terlibat secara langsung merawat serta melakukan ujian saringan COVID-19 dengan empat yang utama adalah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Hospital Sultanah Maliha (HSM) di Langkawi, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani dan Hospital Kulim.

“Kita serahkan sumbangan dan terpulang kepada pihak hospital untuk memberi peralatan diperlukan. Ini antara sumbangan TNB untuk dikembalikan kepada rakyat dan kita mengharapkan supaya COVID-19 ini dapat segera ditangani,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menyampaikan sumbangan tersebut kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir sambil disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri, Dato’ Dr. Ismail Salleh di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Sementara itu Wan Ishak berkata, TNB Kedah sentiasa bersiap siaga serta memiliki pelan kecemasan bagi memastikan bekalan elektrik di negeri ini terutamanya di hospital dan klinik kesihatan, berada dalam keadaan terbaik.

“Kita memiliki pasukan yang bersedia untuk tempoh 24 jam bagi pastikan bekalan elektrik berterusan terutamanya di hospital dan klinik kesihatan. Jika terputus bekalan sekali pun, pasukan ini akan bertindak pantas untuk berusaha menyambung bekalan secepat mungkin.

“Selain itu di Kedah, kita telah mengenal pasti sebanyak 37 stesen kuarantin yang siap sedia untuk dibuka pada bila-bila masa. Setakat ini, dua pusat kuarantin telah beroperasi dan pasukan teknikal kita sentiasa bersedia sekiranya terdapat sebarang masalah di lokasi-lokasi terlibat,” katanya.

Sementara itu Mukhriz ketika diminta mengulas mengenai sumbangan diberikan tersebut mengucapkan terima kasih selain menzahirkan penghargaan di atas keprihatinan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.

“Sumbangan ini amat dialu-alukan dan jelas menunjukkan keprihatinan TNB. Kita sememangnya memerlukan dana untuk membeli peralatan dan perkaka diperlukan bagi menyekat penularan wabak ini secara efisien dan efektif,” katanya.

#stayhome
#kedahamanmakmur

(Visited 42 times, 1 visits today)

COMMENTS