Tun M 'pencen' politik PRU15, beri laluan calon baru
Tun M ‘pencen’ politik PRU15, beri laluan calon baru

Tun M ‘pencen’ politik PRU15, beri laluan calon baru

Langkawi: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendirian tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang, berikutan faktor usia dan tahap kesihatannya yang belum pulih.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau memilih untuk memberi laluan kepada calon muka baharu dan lebih muda supaya mereka dapat berkhidmat lebih cemerlang kepada rakyat.

“Saya ingat bagi peluang pada calon lain dan pastinya nak cari orang yang lebih muda dari saya (bertanding di kerusi Parlimen Langkawi).

“Mengenai calon, setakat ini kita belum kenal pasti,” katanya pada sidang media selepas meninjau kebun sayur Lang Agro di Kampung Ulu Melaka di sini, hari ini.

Dr Mahathir juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) berkata, walaupun tidak bertanding, beliau bersedia untuk turut berkempen membantu calon mewakili parti itu pada PRU-15.

“Saya boleh ada bersama dan bagi nasihat, malah boleh ambil bahagian dalam kempen pun (ketika PRU-15).

“Mana-mana kawasan yang perlu, saya akan hadir (berkempen) dan bercakap sikit (kepada pengundi),” katanya.

Mengulas perkembangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, beliau berkata, pilihan raya yang diadakan itu menjadi sia-sia jika kerajaan yang lama kembali berkuasa.

“Kalau orang lama dari parti yang ternyata gagal memerintah Johor dipilih semula, sia-sia sahaja PRN diadakan.

“Sepatutnya bila diadakan PRN sebelum berakhir penggal, kita mesti tukar kerajaan kepada (parti) yang mampu memberi pentadbiran lebih baik,” katanya.–HM

(Visited 11 times, 1 visits today)

COMMENTS