Ucapan June Wei dan Kean Yew dari Dubai
Ucapan June Wei dan Kean Yew dari Dubai

Ucapan June Wei dan Kean Yew dari Dubai

Kuala Lumpur: Dua pemain badminton profesional, Cheam June Wei dan Loh Kean Yew hanya mampu mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina dari kejauhan ketika mereka meneruskan impian memburu kegemilangan dalam sukan itu.

June Wei, yang baru saja menyertai kem latihan seliaan pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan Kean Yew, juara dunia perseorangan lelaki 2021, tidak dapat menyambut hari gembira itu bersama keluarga dan sahabat handai mereka di Malaysia.

Dalam satu video pendek perkongsian terbaharu di laman Instagram, kedua-duanya bersama Axelsen memegang dua biji buah limau mandarin sambil mengucapkan Selamat Tahun Baharu dalam bahasa Mandarin.

“Selamat Tahun Baharu Cina! Saya doakan yang terbaik buat anda dalam tahun harimau @lohkeanyew @cheamjunewei,” tulis Axelsen ringkas dalam hantaran itu.

Axelsen fasih berbahasa Mandarin sejak enam tahun lalu dalam usahanya mendekati dan berkomunikasi dengan peminat terutama dari Negara Tembok Besar yang cintakan sukan badminton. Dia kini mempunyai 660,000 pengikut di laman Instagram.

June Wei, 25, yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia pertengahan November lalu selepas dipanggil pulang dari Eropah susulan prestasi kurang memberangsangkan, baru saja menamatkan kempen pada Terbuka Odisha di Cuttack, India minggu lalu dan terus ke Dubai untuk memulakan latihan secara sistematik bersama beberapa pemain terbaik dunia.

“Kami dengan ini mengucapkan selamat tahun baharu kepada anda semua, harimau sejahtera, hidup selamat dan tahun harimau yang sejahtera,” tulis June Wei di laman Instagram.

Kean Yew, 24, berasal dari Pulau Pinang namun berhijrah ke Singapura pada usia 13 tahun selepas mendapat biasiswa daripada persatuan badminton republik itu untuk meneruskan pendidikan di Sekolah Sukan Singapura.

“Saya doakan setiap orang sihat, sejahtera dan Selamat Tahun Baharu Cina! Gong Xi Fa Cai. Dari Dubai penuh kasih sayang daripada @viktoraxelsen, @cheamjunewei dan saya.

“Pada CNY kali ini, bagi yang tidak dapat meluangkan masa dengan orang tersayang secara peribadi kerana keadaan yang anda hadapi, saya bersama anda. Bagi yang berkesempatan, saya harap anda akan menghargai peluang dan masa berharga bersama mereka yang tersayang,” kata Kean Yew.

Selain tiga pemain itu, kem latihan Axelsen di Dubai ketika ini turut disertai dua pemain Belanda, Mark Caljouw dan Joran Kweekel, Nhat Nguyen dari Ireland dan pemain Finland, Kalle Koljonen. —Metro

(Visited 27 times, 1 visits today)

COMMENTS