Ular sawa batik kenyang 'kenduri' tiga ekor ayam
Ular sawa batik kenyang ‘kenduri’ tiga ekor ayam

Ular sawa batik kenyang ‘kenduri’ tiga ekor ayam

SUNGAI PETANI – Seorang warga emas terkejut apabila menemukan seekor ular sawa batik yang kekenyangan selepas menelan tiga ekor ayam di sebuah reban berhampiran rumahnya di Kampung Langgar, Bedong dekat sini semalam.

Warga emas terbabit, Mohd. Kanafi Sakidin, 66, menyedari kejadian ketika mahu memeriksa reban miliknya itu kira-kira pukul 7.30 pagi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan reptilia tersebut kira-kira pukul 8.21 pagi.

“Seramai empat anggota APM diketuai Lans Koperal (PA), Ahmad Sobri Musa bergegas ke lokasi berkenaan dan mendapati ular sawa itu masih berada di dalam dalam reban.

“Ular itu telah menelan tiga ekor ayam dan seekor lagi ayam yang sedang mengeram telur didapati telah mati dan belum sempat dibaham,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, anggota APM berjaya menangkap ular sepanjang dua meter dan berat enam kilogram (kg) itu dalam masa 15 minit.

“Kita percaya ular itu datang dari kawasan kebun getah yang terletak di belakang rumah warga emas berkenaan,” katanya.

Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai agar tidak menangkap reptilia itu secara bersendirian, sebaliknya menghubungi APM untuk tindakan kerana ia boleh membahayakan keselamatan dan mengancam nyawa.

— UTUSAN ONLINE

(Visited 30 times, 2 visits today)

COMMENTS