UMNO banyak 'kluster', tak jamin kerajaan stabil - Shafie Apdal
UMNO banyak ‘kluster’, tak jamin kerajaan stabil – Shafie Apdal

UMNO banyak ‘kluster’, tak jamin kerajaan stabil – Shafie Apdal

PONTIAN: Presiden Warisan, Shafie Apdal berkata, tiada jaminan Barisan Nasional (BN) mampu membentuk kerajaan stabil di Johor kerana Umno disifatkannya sebagai “parti berpecah belah”.

Dalam sidang media pada Isnin, Shafie berkata, Umno dipimpin individu yang berhasrat menjadi Perdana Menteri, merujuk Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, dengan pelbagai puak wujud dalam parti itu yang mahu merebut kuasa.

“Kami sedar ada pihak yang menyatakan mereka (BN) mahu kerajaan stabil. Sejauh manakah anda yakin akan ada kerajaan stabil bila mengundi BN? Pernahkah anda lihat apa yang berlaku dalam Umno?

“Ia berpecah dalam kumpulan. Kita ada kluster mahkamah, kluster yang mahu jadi Perdana Menteri, kluster yang mahu kekal sebagai Perdana Menteri.

“Tiada jaminan negara ini akan stabil, kita sudah melihatnya. BN memerintah untuk tempoh lama, tetapi apa berlaku kepada negara? Saya tahu ada pembangunan, tapi ia bukan kerana parti, ia kerana kepimpinan parti,” kata Shafie, bekas Naib Presiden Umno itu.

Beliau berkata, Warisan yang berpangkalan di Sabah menyertai pilihan raya negeri (PRN) Johor dengan hasrat membentuk pembangkang kuat, namun sasaran parti adalah merampas kuasa di Putrajaya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, ada masalah di Johor yang tidak mampu diselesaikan kerajaan negeri, tetapi perlu ditangani di peringkat persekutuan, termasuk kenaikan harga makanan dan penutupan sempadan dengan Singapura.

“Rakyat Johor tersekat di Singapura, hidup di sana. Selama dua tahun, mereka tidak dapat pulang berjumpa anak mahupun pasangan. Ini tidak dapat diselesaikan kerajaan negeri.

“Namun, pada masa sama, ada beberapa pemimpin dalam kerajaan (persekutuan) yang pergi bercuti di Istanbul, Dubai dan London, dan ada yang mengadakan mesyuarat di serata dunia,” katanya.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu, juga mengkritik BN yang mengadakan PRN Johor dan Melaka, serta mempersoalkan sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak atau Kedah pula akan dibubarkan selepas ini.

“Jika niat untuk menstabilkan kerajaan, bubar saja Parlimen dan adakan PRU15. Mengapa hanya bubar di peringkat negeri?” soalnya.–FMT

(Visited 10 times, 1 visits today)

COMMENTS