Umno Kedah tolak kerjasama dengan Pas hadapi PRU15
Umno Kedah tolak kerjasama dengan Pas hadapi PRU15

Umno Kedah tolak kerjasama dengan Pas hadapi PRU15

Umno Kedah menolak sebarang kerjasama dengan PAS susulan pengisytiharan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Sanusi Md Nor yang mahu parti berkenaan “menumpang kekuatannya” di negeri itu.

Sabtu lalu, Sanusi yang juga menteri besar Kedah menyatakan keyakinan memenangi 22 kerusi untuk kembali membentuk kerajaan negeri, pada pilihan umum ke-15 (PRU15).

Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata Umno yakin PAS bukan lagi rakan kongsi baik dan secocok.

Katanya, sikap dolak dalik PAS dapat dilihat apabila parti itu enggan bekerjasama bersama Umno ketika kempen pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor sehingga menyebabkan mereka kalah.

“Ini tidak, dalam PRN Melaka, mahu bersendiri. Lepas tersungkur, kembali menyatakan kesediaan bekerjasama. Kemudian dalam PRN Johor, kembali solo. Lepas ‘tetomoih’ (tersungkur), sekali lagi membuka mulut mengajak kepada kebersamaan,” katanya menurut Harian Metro.

Shaiful yang juga timbalan ketua Umno Bahagian Merbok, turut menyindir PAS yang dikatakan sudah kuat di Kedah dan “tidak mahu” Umno merosakkan parti itu menjelang PRU15.

“Menteri besar dan pengarah pilihan raya PAS pusat sudah membuat penegasan. PAS kuat di Kedah. Kita tahu, PAS adalah parti yang baik, dipenuhi ulama dan golongan terpelajar. Semua pintar, semuanya hebat.

“Jadi, sebagai ‘itik patah kaki’, ‘harimau kena tembak’ dan segala jenis gelaran dan panggilan PAS kepada UMNO, kita percaya bukan lagi rakan kongsi baik dan secocok. Tanpa Umno, bukan kah PAS sudah mengisytiharkan kemenangan 22 kerusi? Jadi, kami kalungkan ucapan tahniah dan selamat bekerja,” katanya.

Sanusi ketika melancarkan jentera PAS Kedah, pada Sabtu, menganggap Umno sebagai parti yang tidak sekuat dahulu, namun boleh menumpang kekuatan PAS di negeri itu melalui Muafakat Nasional (MN).

Keyakinannya berdasarkan penguasaan kerusi Umno Kedah yang jauh ketinggalan iaitu hanya dua kerusi, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang dan Bandar Baharu.

Umno menang di kerusi Sungai Tiang dengan majoriti kecil, 641 undi, manakala di Bandar Baharu dengan 377 undi sahaja.

PAS Kedah ketika ini menguasai 15 kerusi DUN daripada keseluruhan 36 DUN di negeri berkenaan.

Parti itu membentuk kerajaan susulan Langkah Sheraton selepas enam ADUN Bersatu berpaling tadah menolak kepimpinan menteri besar ketika itu, Mukhriz Mahathir, sekali gus menyokong kepimpinan Sanusi menerajui kerajaan negeri.

(Visited 122 times, 1 visits today)

COMMENTS