Umno tidak kisah bergabung dengan mana-mana parti menjelang PRU-15

Umno tidak kisah bergabung dengan mana-mana parti menjelang PRU-15

UMNO boleh bergabung dengan mana-mana parti politik untuk mencapai majo­riti mudah membentuk kerajaan baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Selain bergabung dengan parti komponen Perikatan Nasional (PN) dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas, UMNO juga tiada masalah memilih bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, sebarang keputusan yang menuntut UMNO bergabung hanya boleh ditentukan selepas PRU-15.

“Saya setuju dengan Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Rahman. Kalau UMNO menang 80 kerusi pun sudah cukup. Sebab boleh runding (bergabung) dengan parti lain.

“Macam parti ‘bunga’ pun, sebelum ini be­kerjasama dengan DAP dan PKR. Apa pasal pula sekarang UMNO tidak boleh? Asalkan mereka menyokong perjuangan UMNO, kita boleh sahaja bergabung. Tidak kisah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Senada dengan beliau, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan PAU 2020 amat jelas namun beliau tidak menolak kerjasama dengan parti lain selepas PRU-15 kerana menang 80 kerusi sahaja tidak dapat membentuk kerajaan yang kukuh, stabil dan meyakinkan.

Sementara itu, Naib Presiden Warisan Sabah (Warisan), Datuk Junz Wong enggan mengulas tentang kerjasama dengan UMNO sehinggalah PRU-15 membuktikan keadaan sebenar.

“Jika menang 80 (kerusi) baru kita cerita. Politik adalah dinamik,” katanya.- UTUSAN ONLINE

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )