Ustazah perbetul kenyataan ‘ustaz dipanah petir’, doa Bonda Maryam

Ustazah perbetul kenyataan ‘ustaz dipanah petir’, doa Bonda Maryam

Pengakuan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak Pas Pusat, Ahmad Dasuki Abdul Rani yang disambar petir ketika mengimamkan solat tarawih dilihat mengundang pelbagai kritikan.

Selain mempertikaikan logik ceritanya yang masih mampu menyambung kembali solat itu, kenyataan penceramah tersebut berkenaan doa yang didakwanya doa Maryam turut mengundang teguran.

Ustazah Maznah Daud menegaskan hal tersebut bukan perkara kecil kerana perbezaan antara ibu dengan anak adalah tidak sama.

“Saya tidak berhajat untuk mengulas pengalamannya yang ajaib itu. Tetapi saya terperasan dia telah tersilap menterjemahkan ayat yang dibaca ketika solat, iaitu doa Maryam supaya Allah lindunginya daripada syaitan.

“Yang sebenarnya itu bukan doa Maryam. Sebaliknya itu adalah doa Bonda Maryam supaya melindungi Maryam serta zuriatnya daripada syaitan.

“Rujuk surah Ali ‘Imran, ayat 36,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Terdahulu, Ahmad Dasuki yang juga bekas calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik mendakwa sejurus disambar petir, dia tercampak dua saf ke belakang ketika membaca ayat dari surah tersebut.

Mengulas lanjut, Ustazah Maznah berpendapat penyokong dan peminat Dasuki cenderung untuk mudah percaya walaupun maklumat disampaikan itu tidak benar.

“Jika tidak diperbetulkan, orang ramai yang meminati dan mengkaguminya, akan percaya bulat-bulat apa yang dia cakap tanpa menyemak fakta yang sebenar,” tambahnya lagi.-MD

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )