UUM LAKSANA PENGAJIAN SECARA ATAS TALIAN.
UUM LAKSANA PENGAJIAN SECARA ATAS TALIAN.

UUM LAKSANA PENGAJIAN SECARA ATAS TALIAN.

ALOR SETAR – Semua kuliah di Universiti Utara Malaysia (UUM) akan dilaksanakan secara atas talian sebaik saja cuti pertengahan semester berakhir pada pada 5 April depan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Yusnidah Ibrahim berkata, keputusan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan COVID-19 yang kian meningkat di negara ini.

Malah katanya, ketika ini pun pihaknya tidak mempunyai halangan sekiranya ada dalam kalangan pensyarah mahu mengendalikan kuliah secara atas talian hingga cuti pertengahan semester bermula pada 27 Mac depan.

“Bermula 15 Mac hingga 26 Mac 2020, semua kuliah berjalan seperti biasa. Namun pihak universiti tidak menghalang sekianya pensyarah memilih untuk mengendalikan kuliah secara atas talian bermula minggu ini.

“Sebaik saja cuti pertengahan semester berakhir pada 5 April 2020, semua kuliah akan dilaksanakan secara atas talian. Para mahasiswa dibenarkan mengikuti kuliah secara atas talian dari luar kampus termasuk dari kampung halaman masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, sebarang komunikasi dengan pensyarah, pusat pengajian dan lain-lain jabatan di UUM turut akan dilakukan secara atas talian termasuk menerusi media sosial.

“Sebarang bentuk penilaian sama ada peperiksaan pertengahan semester, tugasan, kuiz, pembentangan projek dan lain-lain termasuk peperiksaaan akhir yang akan bermula 31 Mei hingga 27 Jun 2020 juga, akan dilaksanakan secara atas talian atau menerusi kaedah tertentu yang diumumkan kelak,” katanya.

Tambahnya, mahasiswa yang memiliki keperluan untuk tinggal di kampus seperti mereka yang berasal dari Sabah, Sarawak dan antarabangsa perlu mendaftar kepada pihak Inapan Siswa (Inasis) bagi tindakan pemantauan.

“Kumpulan itu juga akan turut mengikuti kuliah secara atas talian dari Inasis masing-masing.

“Secara umumnya, semua bentuk pengajaran dan pembelajaran akan dilakukan secara atas talian. Pusat pengajian melalui pensyarah akan memberi makluman kepada mahasiswa berkaitan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara atas talian yang akan digunakan,” katanya.

(Visited 1 times, 1 visits today)

COMMENTS