[VIDEO] Akibat diracun pesawah, puluhan burung ciak rumah ditemui mati

[VIDEO] Akibat diracun pesawah, puluhan burung ciak rumah ditemui mati

Puluhan burung ciak rumah ditemukan mati dipercayai akibat diracun pesawah, berhampiran sebuah kawasan perumahan di Ulu Melaka, dekat sini sejak Ahad (18 Okt).

Seorang penduduk Shahrizan Saad, 39, berkata bangkai burung itu ditemukan di atas pokok, bumbung dan pagar rumah di kawasan tersebut dalam keadaan cecair kuning keluar dari mulut.

“Saya mula nampak bangkai burung di sekitar kawasan ini kira-kira jam 6 petang, Ahad, anak saya berjaya kumpul 31 ekor bangkai burung pada hari tersebut. Tengah hari semalam (19 Okt), saya temukan lagi bangkai burung, setakat semalam sudah 80 ekor bangkai sudah ditemukan rata-rata burung ciak rumah termasuk seekor burung tekukur.

“Semalam juga, saya jumpa seorang pesawah dia mengaku ada letak racun ‘Furadan’ dalam benih padi kerana sakit hati padi miliknya dimakan burung,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Wawasan Indah, di sini hari ini.

Shahrizan berkata dia percaya banyak lagi bangkai akan ditemukan kerana burung akan makan racun di kawasan sawah pagi sebelum terbang ke lokasi lain.

“Sejak lima tahun tinggal di kawasan perumahan yang dikelilingi bendang ini, pertama kali saya lihat banyak bangkai burung bergelimpangan di sini. Memang rasa sedih melihat banyak bangkai burung akibat diracun,” katanya.

Tinjauan di kawasan tersebut mendapati pegawai Pejabat Perhilitan Daerah Langkawi berada di lokasi tersebut untuk membuat tinjauan serta mengambil bangkai burung yang ditemukan tersebut selepas mendapat aduan awam.

Sementara itu, Penolong Pegawai Hidupan Liar Pejabat Perhilitan Daerah Langkawi Mohd Nazri Amran berkata hasil siasatan mendapati burung ciak rumah dan tekukur tidak berada dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

“Siasatan awal mendapati bangkai yang ditemukan ialah burung ciak rumah atau nama saintifiknya ‘passer montanus’. Burung ciak rumah dan burung tekukur tidak termasuk dalam  Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

“Aktiviti meracun sekiranya menyebabkan burung yang berada dalam senarai  Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 terjejas, kita boleh ambil tindakan. Dalam kejadian kali ini tiada tindakan dapat diambil terhadap pesawah tersebut namun kita akan beritahu dia mengenai apa yang berlaku,” katanya.

Kredit — BERNAMA

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )