[VIDEO] Menelusuri tarikan geotapak di Biogeotrail Kubang Badak
[VIDEO] Menelusuri tarikan geotapak di Biogeotrail Kubang Badak

[VIDEO] Menelusuri tarikan geotapak di Biogeotrail Kubang Badak

Dua belas geotapak yang memiliki keunikan warisan geologi, biologi dan budaya di Biogeotrail Kubang Badak sudah cukup menggambarkan betapa lokasi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar Kuah ini bakal memberi satu pengalaman baharu kepada pengunjungnya.

Mungkin ramai sudah pernah menelusuri sungai hutan paya bakau di sekitar pulau legenda ini seperti di Taman Geoforest Karst Kilim atau Tanjung Rhu, namun tarikan di Biogeotrail Kubang Badak tidak kurang menarik dan pastinya bakal mengujakan mereka.

Pemandu pelancong Othman Ayeb berkata Biogeotrail Kubang Badak pada awalnya hanya diketahui sebagai perkampungan nelayan namun apabila ramai pengkaji datang melakukan penyelidikan, mereka menemukan pelbagai tarikan biologi, budaya dan geologi yang amat unik serta berpotensi untuk diketengahkan.

Beliau berkata aktiviti di biogeotrail itu bermula di Jeti Nelayan Kubang Badak dan pengunjung boleh menelusuri Sungai Kubang Badak dan Sungai Siam menaiki bot atau kayak melihat hutan paya bakau seterusnya melakukan lawatan ke geotapak di sekitar lokasi tersebut.

“Biogeotrail Kubang Badak merupakan destinasi pelancongan yang memberi penekanan kepada tarikan geologi, biologi dan budaya setempat. Ada 12 geotapak di lokasi ini dengan tiga merupakan tumpuan utama pengunjung iaitu Bukit Menora, peninggalan tapak kebuk arang lama dan Gua Pinang.

“Ketika menelusuri sungai, pengunjung boleh melihat Bukit Menora iaitu sejenis ‘mogot’ istilah geologi untuk bukit tunggul bercerun curam yang terbentuk oleh sama ada batu kapur, batu marmar atau batu dolomit,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

Othman yang juga Felo Bersekutu di Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) Universiti Kebangsaan Malaysia berkata selain Bukit Menora, pengunjung juga akan dibawa melawat ke Kampung Siam.

“Di sini pengunjung dapat melihat peninggalan tapak kebuk arang lama yang dipercayai berusia lebih 100 tahun. Tapak kebuk arang lama ini memberi gambaran bahawa industri kayu arang merupakan sumber pendapatan untuk komuniti Siam di sekitar kawasan Kampung Kubang Badak ini suatu ketika dahulu,” katanya.

Berpengalaman sebagai pemandu pelancong hampir 24 tahun, Othman berkata Gua Pinang merupakan satu lagi lokasi wajib bagi pengunjung yang melawat Biogeotrail Kubang Badak.

“Pengunjung perlu melalui hutan berbukit kira-kira 10 minit dari sebuah jeti kecil untuk ke Gua Pinang. Gua ini merupakan tinggalan gua laut kuno yang terbentuk oleh proses ombak ketika paras laut berada sekitar 15 meter (berbanding sekarang) kira-kira 6,000 tahun dahulu, pengunjung masih boleh melihat kawasan longgokan cangkerang kuno seperti kulit siput dan tiram di sekitar kawasan gua ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Koperasi Nelayan Sungai Kubang Badak Sabri Musa berkata selain tiga lokasi menarik itu, sembilan lagi geotapak ialah Kampung Kubang Badak, Jeti Nelayan Kubang Badak, Pulau Kubang Badak, Sungai Siam, mata air panas, fosil kambria Pulau Jemuruk, Tanjung Buta, titik pandang landskap dan beting pasir.

“Selain melawat 12 geotapak tersebut, pengunjung juga berpeluang untuk melakukan aktiviti selam snorkel di Pulau Dangli sekiranya keadaan cuaca mengizinkan,” katanya.

BERNAMA
— Video : Langkawi UNESCO Global Geopark

(Visited 55 times, 1 visits today)

COMMENTS