[VIDEO] Tular Penangan Kari Kepala Ikan Bidor
[VIDEO] Tular Penangan Kari Kepala Ikan Bidor

[VIDEO] Tular Penangan Kari Kepala Ikan Bidor

Bertempat di Jalan Besar, pekan Bidor, masakan istimewa yang ditawarkan oleh Restoran Kandar Nordin memang cukup dikenali dalam
kalangan penduduk atau pelancong yang melintasi pekan kecil ini.

Ini kerana kuah kari yang digunakan adalah adunan rempah ratus tradisional yang menjadi rahsia kepada pengusahanya.

Baca Juga : Enam tempat makan murah dan sedap di Alor Setar

Kepala ikan yang ditawarkan juga pelbagai jenis seperti jenahak, kerisi, kerapu dan merah.
Pengusahanya juga membuat tempahan daripada nelayan di Pantai Remis dan Sungai Besar, Selangor atau nelayan di Hutan Melintang
dan Teluk Intan di Perak untuk memastikan bekalan ikan sentiasa segar.

Pengusaha Restoran Nasi Kandar Nordin, Nordin Abdul Kadir, 50, berkata, ramuan masakan kari kepala ikan berasal
daripada resepi bapanya yang mengajarnya memasak sejak di bangku sekolah lagi serta dari situ timbul minat untuk
berniaga kerana masakan itu mampu menarik ramai pelanggan.

“Ramuan yang digunakan adalah daripada rempah ratus tempatan dan diadun sendiri serta dimasak secukupnya bagi memastikan mutu kari yang dihasilkan itu memang enak.

“Kepala ikan yang saya perolehi dari pasar itu dibasuh dengan air garam atau asam untuk menghilangkan rasa hanyir sebelum dimasukkan ke dalam periuk yang berisi kuah kari yang sudah dimasak dengan secukupnya.

“Kepala ikan dibiarkan rendam di dalam kuah kari kira-kira 25 minit sahaja untuk memastikan isinya tidak hancur dan pelanggan dapat menikmati keenakan kepala ikan yang segar dengan selera untuk makanan tengah hari,” katanya.

Nordin juga berkata, harga sebenarnya mengikut jenis dan saiz kepala ikan.

Kepala ikan kerapu harganya antara RM65 sehingga RM135, manakala bagi ikan lain seperti ikan jenahak, kerisi dan merah pula sekitar RM65 sehingga RM75 sahaja.

Katanya, permintaan kari kepala ikan setiap hari memang memberangsangkan dan sentiasa mendapat tempahan daripada pelanggan yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

INFO

Restoran Nasi Kandar Nordin

Lokasi: Jalan Besar, Bidor, Perak
Menu utama: Kari Kepala Ikan – Jenahak, kerisi, kerapu dan merah
Harga: Antara RM65 hingga RM135 seketul (bergantung kepada jenis dan saiz kepala ikan)
Waktu Operasi: 11 pagi hingga 2 petang

Baca Juga : KKM kongsi tips elak gemuk bagi mereka suka makan lewat malam

(Visited 150 times, 1 visits today)

COMMENTS