[VIDEO] "Ya Allah, turunkanlah hujan" - rintihan penduduk Tebengau
[VIDEO] “Ya Allah, turunkanlah hujan” – rintihan penduduk Tebengau

[VIDEO] “Ya Allah, turunkanlah hujan” – rintihan penduduk Tebengau

Kuala Kedah: Penduduk di Kampung Tepi Laut Selarong Batak, Tebengau dekat sini gusar apabila berdepan masalah air paip sejak lebih 3 bulan lalu.

Menurut salah seorang penduduk kampung yang lebih mesra dikenali sebagai Mak Lang, beliau terpaksa mengangkut air dari rumah mertuanya berkali-kali dalam sehari. “ Sekali saya pi angkut, bawa berbelas botol, itupun tahan sehari saja. Nak guna untuk pagi esok, terpaksa ambil petang ini, macam itulah setiap hari.”

“Hampir setiap malam saya bangun pukul 2 atau 3 pagi, buka paip kot-kot ada air, tapi tak ada. Dah banyak kali buat laporan tapi tiada tindakan daripada SADA,” ujar beliau sambil berlinangan air mata.

Penduduk terpaksa mengangkut air dari kawasan lain untuk kegunaan harian

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagi Ari berkata, mereka hanya bergantung kepada air hujan. Beliau juga mendakwa sudah 2 kali membeli pam air berikutan tekanan air rendah. “Kali pertama saya beli pam berharga lebih RM300, tapi tak dapat juga air, depa kata pam murah, tak cukup kuat untuk tarik air, lepas tu saya beli pula pam yang lebih mahal, RM500, pun sama juga tak dapat air.”

Tong air kosong jika tiada hujan yang turun

“Beli tong air lagi untuk tadahan air hujan. Kalau diikutkan, dah beribu ringgit habis semata-mata untuk dapatkan bekalan air. Sekarang ni memang mengharapkan air hujan untuk mandi dan basuh. Nak minum terpaksa beli air mineral,” ujar beliau yang sudah berkali-kali membuat laporan kepada SADA namun tidak dilayan.

Sementara itu, salah seorang pengusaha belacan mendakwa masalah air ini sudah lama berlarutan. Keadaan jadi semakin meruncing apabila tiba musim cuti sekolah atau perayaan. “Anak cucu balik pun berselarak cari air nak mandi, nak basuh apa semua. Katanya masalah ni berpunca dari paip air yang dikorek dan dipasang dengan tidak sempurna. Ada yang tinggi, ada yang rendah, ada yang tersumbat akibat dari kerja-kerja pembaikan.”

“Bila kita buat aduan, katanya lori nak hantar air tak ada. Penduduk kampung hanya mengharapkan air hujan. Harap sangat la kerajaan bagi perhatian kepada masalah ni,” ujar beliau dengan penuh pengharapan.

(Visited 23 times, 1 visits today)

COMMENTS