Walau diri gagal, Muhyiddin bertugas seperti biasa

Walau diri gagal, Muhyiddin bertugas seperti biasa

Di sebalik ketidaktentuan politik ketika ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertugas seperti biasa dalam menguruskan pentadbiran negara.

Menurut sumber, Perdana Menteri meneruskan tanggungjawab menguruskan kerajaan terutama dalam usaha pemulihan negara yang terkesan akibat wabak Covid-19.

“Perdana Menteri bertugas seperti biasa hari ini,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, dua kenyataan Perdana Menteri dikeluarkan iaitu berkaitan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan  Negeri Sarawak (PRN Sarawak) tidak akan diadakan spanjang tempoh darurat  berkuat kuasa kecuali jika darurat ditamatkan lebih awal.

Ia susulan Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 21 Julai lalu bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  agar memperkenan Proklamasi Darurat bagi seluruh Sarawak  setelah darurat yang berkuat kuasa pada masa ini berakhir esok.

Muhyiddin kemudian mengeluarkan kenyataan bersempena Hari Pahlawan 2021 sebagai menghargai sumbangan dan khidmat bakti warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya ketika bertugas di barisan hadapan ketika negara berdepan penularan wabak Covid-19 tidak ternilai harganya.

Kemelut politik tanah air yang berlaku  berhubung pertikaian terbaharu antara istana dan kerajaan menyaksikan sentimen yang pelbagai di seluruh negara terutama desakan supaya Perdana Menteri melepaskan jawatan itu.

Pakar Undang-Undang berpendapat,  Muhyiddin tiada pilihan selain perlu mengikut titah Yang di-Pertuan Agong atau mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri.

Datuk Salleh Buang berkata, luahan amat dukacita yang dizahirkan Al-Sultan Abdullah berhubung pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan baginda menunjukkan seolah-olah keyakinan terhadap Muhyiddin sudah terhakis.

Agong juga kecewa dengan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang tidak membahas dan mengungkaikan perkara itu pada sidang khas Parlimen seperti dititah Seri Paduka sebaliknya terus mengumumkan pembatalannya.

Salleh memaklumkan, Agong ada kuasa untuk meminta Perdana Menteri meletakkan jawatan jika titah Seri Paduka tidak dipatuhi.

Sementara itu, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdullah berkata, Muhyiddin dan Kabinet mesti meletakkan jawatan segera kerana menderhaka terhadap institusi diraja.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan hanya mencemarkan peranan dan kuasa Agong malah mencabul Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.

Bagaimanapun,  Kerajaan PN sememangnya masih mendapat sokongan melebihi 110 Ahli Parlimen seperti mana yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

PN masih kerajaan yang sah dengan sokongan parti di dalam gabungan berkenaan dengan sokongan 40 Ahli Parlimen UMNO-Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebanyak 32, Pas (18), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Solidariti Tanah Airku (STAR) (1), Bebas (3) dan dua lagi dari Sabah. – UTUSAN ONLINE

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )